SIBS 2025 perkukuh peranan Selangor sebagai pintu perdagangan serantau

SHAH ALAM – Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 yang bakal berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diyakini mampu memperkukuh peranan Selangor sebagai pintu utama perdagangan serantau Asia Tenggara.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han yang membacakan teks ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran rasmi SIBS 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam berkata, dunia kini berada dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.
Menurut Sze Han, sistem perdagangan konvensional kini tergugat, khususnya negara yang mempunyai hubungan erat dengan pasaran Amerika Syarikat hingga menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala Asia Tenggara pula berjaya merundingkan terma lebih fleksibel.

“Setiap krisis membawa cabaran dan peluang yang mendorong kita berinovasi serta memperkukuh kerjasama serantau.
"Lima tahun lalu, Covid-19 melumpuhkan perdagangan global, dan pengajaran itu mengingatkan kita agar tidak bergantung hanya pada satu atau dua pasaran sahaja,” ujarnya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Salim Soib @ Hamid dan Exco Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Sosial, Anfaal Shaari.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Datuk Johary Anuar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Mohd Yazid Sairi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop; serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris.
Menurut Sze Han, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pula harus dilihat sebagai alat untuk meningkatkan mobiliti sosial dan memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi.
“Kita perlu menyalurkan potensi AI ke dalam pelbagai industri utama Selangor, termasuk pembuatan makanan dan minuman, industri aeroangkasa, reka bentuk cip digital, serta peranti kesihatan dan perubatan,” jelasnya.
Sze Han berkata, SIBS merupakan platform terbaik untuk memulakan kerjasama perniagaan kerana Selangor bukan hanya memiliki 7.4 juta penduduk, malah turut menghubungkan pasaran Asia Tenggara yang mencecah 680 juta orang.
Beliau menegaskan, SIBS yang kini memasuki edisi kesembilan sudah berkembang menjadi platform serantau penting untuk berkongsi idea, membina hubungan, menjalin kerjasama dan menggarap visi masa depan.
“SIBS tahun lalu mencatat hampir RM14 bilion potensi transaksi, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Tahun ini cabarannya lebih besar, namun saya yakin dengan pasukan Invest Selangor serta keyakinan pelabur untuk mengembangkan operasi mereka di negeri ini,” ujarnya.
Sze Han seterusnya mengumumkan bahawa Selangor International Business Summit 2025 secara rasmi dilancarkan dan menyeru semua pihak menandakan tarikh 8 hingga 11 Oktober untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.
Ends
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

