Kementerian sedia geran RM70,000 kaji mutasi Covid-19

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan geran sebanyak RM70,000 kepada Malaysia Genome Institute (MGI) bagi menjalankan penjujukan genom penuh serta analisa bioinformatik untuk mengesan mutasi pada genom daripada sampel koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, kajian mutasi itu penting bagi proses pembangunan vaksin dan antivirus yang telah bermula beberapa bulan lalu.

"Beberapa bulan lalu, MOSTI telah mengeluarkan dana segera kepada MGI bagi tujuan penyelidikan ini dengan geran kira-kira RM70,000 dan kita sedang menambah lagi peruntukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya sebanyak enam sampel kajian telah selesai dikaji dan masih terdapat enam lagi sampel yang perlu dikenalpasti untuk menjalani proses saringan.

"Hasil kajian ke atas mutasi virus Covid-19 mendapati karakter virus itu berubah-ubah mengikut keadaan iklim dan cuaca setempat.

"Karakter virus di Malaysia berbeza dengan karakter virus di Wuhan,"katanya

Menurutnya, hasil penjujukan genom dari Malaysia bagi virus Covid-19 akan dideposit ke National Centre for Biotechnology Information di Amerika Syarikat yang mempunyai pangkalan maklumat antarabangsa untuk dikongsi bersama bagi membangunkan vaksin terhadap jangkitan itu.

Artikel Berkaitan:

"Enam sampel daripada gelombang pertama jangkitan telah dapat menghasilkan penjujukan genom penuh dan enam lagi sampel daripada kumpulan jangkitan lokal akan dikaji," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari yang lalu amat sesuai dan bertepatan dengan keadaan yang melanda negara ketika ini.

"Turut mengambil langkah yang sama dalam mengawal pergerakan penduduk adalah beberapa negara lain seperti Thailand dan Indonesia.

"Setakat hari ini Malaysia merekodkan 900 kes positif Covi-19 dengan dua kematian yang melibatkan warga tempatan.

"Daripada jumlah kes positif tersebut, sebanyak 11 kes positif dicatatkan di Terengganu," katanya.