RCMP perlu miliki hospital pengajar sendiri - TPM

Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan menyaksikan simulasi rawatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) selepas baginda menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Perak Royal College Of Medicine Perak, UniKL pada Khamis. Turut kelihatan, Ahamd Zahid (tengah).
Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan menyaksikan simulasi rawatan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) selepas baginda menyempurnakan Majlis Sambutan Jubli Perak Royal College Of Medicine Perak, UniKL pada Khamis. Turut kelihatan, Ahamd Zahid (tengah).
A
A
A

IPOH - Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) perlu memiliki sebuah hospital pengajar sendiri pada masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, perkembangan pesat institusi bertaraf Diraja itu membolehkan hospital pengajar diwujudkan sebagai mercu tanda baharu ilmu dan bakti.

"Bukan sahaja untuk memperkukuh aspek pengajaran dan pembelajaran, malah keberadaan Teaching Hospital ini membawa limpahan rahmat kepada masyarakat.

"... (sekali gus) mengurangkan kesesakan hospital serta memberi sumbangan besar kepada rakyat dan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak UniKL RCMP di sini pada Khamis.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat mempertimbangkan penambahan sekurang-kurangnya 250 kuota baharu bagi pengambilan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di RCMP.

Katanya, tambahan kuota tersebut amat penting bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan.

"Dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Kesihatan di sini, disaksikan Tuanku, saya yakin kolaborasi dua kementerian ini dapat merealisasikan penambahan kuota ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, sambutan Jubli Perak ini menjadi penghargaan kepada semua pihak yang banyak berjasa sejak penubuhan institusi berstatus Diraja itu.

"Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang dikurniakan status Diraja, kami beriltizam untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan mahasiswa sentiasa dipertingkatkan selari dengan pengiktirafan tersebut," katanya.

Sambutan Jubli Perak itu turut menyaksikan pelancaran Blok Al-Zahrawi yang menempatkan Fakulti Perubatan serta Fakulti Farmasi dan Sains Kesihatan Bersekutu, selain pelancaran dua buku ilmiah penting iaitu Handbook of Rheumatoid Arthritis and Images in Rheumatology hasil penulisan Profesor Datuk Dr Wahinuddin Sulaiman bersama Dr Ainon Mohd Mokhtar.

Turut dilancarkan, Modul Usrah Kontemporari serta Smart Circle Module oleh Pensyarah dan Koordinator Program Huffaz Profesional Kolej Diraja, Muhammad Asyraf Saifudin dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

RCMP yang diasaskan pada 18 Februari 1999 atas perkenan dan ilham Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, kini menjadi antara institusi pendidikan Mara bertaraf Diraja paling berjaya di negara ini.

Sehingga kini, lebih 10,950 graduan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan telah dilahirkan, berkhidmat dalam serta luar negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dengan kapasiti hampir 3,600 pelajar serta lebih 400 tenaga akademik dan bukan akademik, RCMP menawarkan 18 program pengajian daripada diploma hingga ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!