16 artis veteran bersatu di Konsert Amal Gema Suara Emas

Sebahagian artis veteran yang terlibat dalam Konsert Amal Gema Suara Emas bergambar bersama urus setia program.
Sebahagian artis veteran yang terlibat dalam Konsert Amal Gema Suara Emas bergambar bersama urus setia program.
A
A
A

MELAKA - Nostalgia era 60-an hingga 90-an bakal kembali bergema apabila 16 artis veteran tanah air tampil dalam Konsert Amal Gema Suara Emas di Dewan World Youth Foundation (WYF), Ayer Keroh pada malam Jumaat ini.

Pemangku Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez berkata, konsert anjuran WYF dengan kerjasama pihaknya itu bukan sekadar persembahan hiburan, malah bertujuan mengisi tabung kebajikan bagi membantu artis veteran yang pernah mewarnai industri seni tanah air.

Malah menurutnya, 70 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan kepada PKAVM untuk tujuan kebajikan seperti artis yang sakit, termasuk menganjurkan bengkel kemahiran serta program motivasi khusus untuk artis veteran.

"Konsert yang julung kali diadakan menampilkan kira-kira 28 lagu popular yang masih segar di telinga peminat.

"Ini bukan sahaja mengimbau kenangan silam, malah memberi peluang generasi muda mengenali penyanyi-penyanyi lama yang karyanya tetap hidup hingga kini,” katanya ketika ditemui di Banda Hilir, di sini pada petang Rabu.

Sementara itu, Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, konsert amal itu diadakan bersempena ulang tahun ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

“Masih ramai artis veteran yang bertenaga dan mampu menghiburkan, tetapi kurang diberi ruang kerana saingan artis baharu.

"Jadi, kami terpanggil untuk membuka pentas ini agar mereka kembali menyerlah dan sekali gus memperkenalkan bakat lama kepada anak muda," katanya.

Antara artis yang bakal menggegarkan pentas ialah Datuk Jefrydin, A Rahman Onn, J Sham, Zaiton Sameon, Datuk Siti Fairus serta pelawak Abon yang tampil sebagai pengacara.

Artikel Berkaitan:

Persembahan mereka bakal diiringi Band Warisan Legenda (The Sound of Sixties) pimpinan Abass Abu Bakar dengan sentuhan baharu terhadap lagu-lagu klasik.

Tiket berharga RM200 (Platinum), RM150 (Gold) dan RM100 (Silver) boleh didapati di https://orderlina.com/gemasuaraemas atau menerusi talian +6011-1752 4881 / +6019-593 3352.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!