6 hidangan eksklusif Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Resorts World Genting

GENTING HIGHLANDS – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Resorts World Genting (RWG) mempersembahkan enam hidangan eksklusif bertemakan ‘Raikan Rasa Kita’ bermula 29 Ogos hingga 16 September 2025 di Park Avenue Lounge, SkyAvenue.
Pelancaran Raikan Rasa Kita yang diadakan dengan kerjasama Sinar Harian dan Rasa telah diadakan RWG pada Khamis lalu turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi Sinar Harian dan Ideaktiv diwakili oleh Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan Ketua Pegawai Eksekutif Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim.
Hadir sama Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting, Spencer Lee, Ketua Pegawai Operasi, Resorts World Genting, Aaron Chia, Syamil Fahim, Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf Sdn Bhd, Nik Justin Nik Ariffin dan Pengurus Besar Pengiklanan Sinar Karangkraf, Airol Fadley Limin.
Hidangan yang diperkenalkan bukan sekadar sajian, sebaliknya membawa kisah identiti Malaysia yang diterjemahkan dalam setiap resipi hasil tangan cef berbakat RWG.
Menariknya, enam hidangan ini dihasilkan oleh gabungan cef veteran berusia 80 tahun, cef profesional muda serta cef orang kurang upaya, sebagai simbol kesungguhan RWG meraikan bakat tanpa diskriminasi.
Antara menu istimewa ialah Patin Tempoyak Pahang hasil air tangan cef Nor Hamizi Sapian Suri.
Masakan ikonik ini menampilkan ikan patin segar yang dimasak bersama tempoyak berempah kunyit, serai dan halia, memberi aroma berlemak serta rasa unik.
Tidak ketinggalan, Mi Tauhu Tawau dari Sabah yang diolah oleh cef Lo Tshun Ket.

Sajian ini diinspirasikan daripada mi tempatan dengan campuran isi ikan dan daging, dibalut tauhu lembut serta dihidangkan bersama kuah pekat yang cukup menyelerakan.
Dari Perak pula, Nasi Ulam Utara bersama Ikan Bakar dan Sambal Kelapa hasil sentuhan cef Ahmad Fairul Aimie Ahmad Salihim.
Nasi berherba biru kacang telang dipadankan dengan ikan bakar berempah serta sambal kelapa berkrim, menjadikan sajian ini cukup istimewa.
Menu seterusnya ialah Ikan Siakap Stim Kapitan ala Peranakan Nyonya yang disediakan cef Low Wee Keong, seorang cef buta yang terkenal dengan kepakaran kulinari.
Hidangan ini menggunakan serai, bunga kantan dan galangal, mencipta rasa seimbang antara masam, pedas dan manis.
Selain itu, nostalgia turut dihidupkan dengan Mi Siam Nyonya Pulau Pinang oleh cef Amy Beh, seorang cef veteran berusia 80 tahun.
Sajian ini menampilkan mi halus berempah asam jawa dan sambal pedas yang membangkitkan rasa autentik warisan Baba Nyonya.
RWG juga tidak melupakan hidangan kegemaran ramai iaitu Nasi Lemak.
Menu sarapan paling ikonik rakyat Malaysia ini menjadi pilihan utama pengunjung Genting Highlands sejak sekian lama.
Setiap hidangan disediakan dengan kualiti setaraf lima bintang, namun tetap mengekalkan keaslian resipi tradisi agar dapat membangkitkan rasa cinta terhadap tanah air.
Mari kita bersama-sama meraikan Raikan Rasa Kita dengan enam sajian eksklusif ini kerana dalam setiap suapan membawa makna sebenar perpaduan
Program ini berlangsung sehingga 16 September depan dan pengunjung berpeluang menikmati enam sajian berkenaan di Park Avenue Lounge, SkyAvenue serta The Bakery, RWG.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

