Covid-19: PH gesa kerajaan ambil lebih banyak langkah

Pemandangan udara di sekitar Masjid Sri Petaling yang kelihatan lengang ketika tinjauan Foto Bernama hari ini. -Foto Bernama
Pemandangan udara di sekitar Masjid Sri Petaling yang kelihatan lengang ketika tinjauan Foto Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mengesa kerajaan mengambil beberapa langkah bagi menjamin keselamatan ekonomi buat pekerja dan perniagaan Malaysia yang bakal terjejas ketika krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kenyataan, PH berkata, walaupun dengan niat baik, pelaksanaan kawalan perintah pergerakan secara tiba-tiba di seluruh negara telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan telah mewujudkan kelompongan ekonomi.

Justeru, antara yang dicadangkan adalah moratorium tiga bulan untuk pembayaran balik pinjaman bank bagi melindungi pekerjaan pekerja tempatan dan menyelamatkan perniagaan di negara ini.

"Moratorium selama tiga bulan amat penting untuk dilaksanakan bagi semua pembayar pinjaman. Kadar keuntungan yang besar membolehkan bank menampung kerugian mereka.

"Ini merupakan peranan pihak bank bagi menjamin keberlangsungan perniagaan dan pekerja untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik (systemic collapse),"kata PH.

Kenyataan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu Presiden dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu juga mencadangkan agar kerajaan memberi insentif tambahan untuk pekerja kerajaan barisan hadapan (frontliners).

"Rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan penjawat awam yang merupakan pejuang baris hadapan menentang pandemik Covid-19.

"Oleh itu, insentif tambahan dan kemudahan diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi kesihatan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Pada ketika ibu pertiwi dilanda krisis, solidariti dan perpaduan semakin penting untuk memastikan rakyat mengharungi cabaran ini bersama, memastikan tiada siapa yang tercicir dan kebajikan semua rakyat terjamin," kata PH.

Pada masa sama, PH berkata, projek-projek kecil bernilai RM2 bilion untuk pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan pada April 2020 tidak mencukupi.

Ujarnya, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu PKS merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit.

"Pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang perlu dilaksanakan. Pinjaman perlu dipermudahkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan bertahan.

"Bank Negara juga harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi," katanya.

Sementara itu, PH juga berpendapat bantuan tunai perlu diagihkan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

"Kami percaya bantuan yang lebih komprehensif diperlukan untuk membantu para pekerja di seluruh sektor terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mungkin menghadapi masalah tanpa gaji, penghentian pekerjaan atau keperluan mencari penginapan disebabkan oleh kawalan pergerakan semasa perintah (MCO)," katanya.