Pasangan kekasih ditahan, polis rampas dadah lebih RM700,000

Naazron (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Rabu.
Naazron (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Rabu.
A
A
A

KAJANG – Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan berasingan di sini pada 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM757,760.

“Serbuan pertama di sebuah rumah pada jam 5 petang, polis menahan pasangan kekasih iaitu seorang wanita berusia 34 tahun yang tidak bekerja bersama seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sendiri.

“Pemeriksaan di rumah tersebut menemui empat bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 364 gram bernilai kira-kira RM700,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Rabu.

Naazron berkata, serbuan susulan sekitar jam 9 malam, hari yang sama ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui tiga bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 235 gram bernilai RM500.

“Hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan bekalan dadah,” jelasnya.

Tambahnya, tindakan lanjut bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menemukan rampasan besar melibatkan 22.2 kilogram ganja, 3.35 kilogram pil ekstasi, 267 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 34 gram ketamin.

Selain itu, polis turut melaksanakan tindakan pelucuthakan harta dengan menyita sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM3,843.

Artikel Berkaitan:

“Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif tetrahydrocannabinol (THC). Semakan juga menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Naazron berkata, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua suspek lelaki telah dituduh di mahkamah, manakala wanita terbabit menjadi saksi pendakwaan.

“Kita komited membanteras aktiviti pengedaran dadah dan orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!