Rakyat tolak larangan vape, desak penguatkuasaan Akta 852 - Tinjauan

MVA beri amaran larangan vape di peringkat negeri atau negara hanya akan galakkan pasaran haram. Gambar kecil: Khairil Azizi
MVA beri amaran larangan vape di peringkat negeri atau negara hanya akan galakkan pasaran haram. Gambar kecil: Khairil Azizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysian Vapers Alliance (MVA) memberi amaran bahawa ketidaktentuan dalam peraturan vape termasuk larangan vape di peringkat negeri hinggalah perbincangan mengenai larangan di peringkat kebangsaan akan memberi kesan kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta mendorong pengguna ke saluran yang tidak sah.

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata, perbincangan kini telah beralih daripada larangan di peringkat negeri kepada larangan peringkat negara namun mesej daripada pengguna adalah jelas, larangan dalam apa jua bentuk bukanlah jawapannya.

"Tinjauan kami menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahukan kawal selia yang telus di bawah Akta 852, yang melindungi pengguna dan menghalang pasaran haram daripada berkembang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tinjauan yang dijalankan secara dalam talian dengan 641 responden di seluruh Malaysia mendapati tahap kesedaran mengenai Akta 852 amat tinggi, dengan 83 persatuan responden menyatakan mereka tahu mengenai akta tersebut yang dikuatkuasakan pada Oktober 2024.

Majoriti pengguna (68 peratus) berkata mereka lebih suka membeli produk vape yang diluluskan dan dikawal selia oleh kerajaan berbanding sumber tidak terkawal.

Sebanyak 74 peratus menyuarakan kebimbangan bahawa larangan akan menggalakkan pertumbuhan pasaran haram, manakala 80 peratus bimbang produk sedemikian mungkin berkualiti rendah atau tidak selamat.

"Apabila ditanya tentang kesan larangan, 65 peratus berkata mereka tidak menyokong kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan mengenakan larangan, dan 67 peratus berpendapat bahawa penguatkuasaan Akta 852 lebih berkesan melindungi pengguna berbanding larangan menyeluruh," katanya.

Khairil Azizi berkata, kebimbangan ini juga sedikit sebanyak berpunca dari pola penguatkuasaan sejak Akta 852 berkuat kuasa.

Beliau berkata, antara 1 Oktober 2024 hingga 30 Jun 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan telah menjalankan 15,775 operasi, mengeluarkan 78,424 notis kesalahan, dan membuka 524 kertas siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes terkini menunjukkan risiko pasaran haram: sebuah perniagaan di Titiwangsa didenda kerana jualan dalam talian; polis Selangor menumpaskan sindiket yang menjual cecair vape dicampur dadah bernilai lebih RM5 juta; dan produk vape haram bernilai RM8.8 juta dirampas di Pasir Mas semasa serbuan jalan raya.

"Semua kes ini melibatkan peranti dan produk tidak diluluskan serta tidak menepati piawaian Malaysia, membuktikan bahawa produk tidak mematuhi undang-undang datang daripada pengendali haram, bukannya perniagaan sah yang mengikut peraturan,” tambah Khairil.

Pada masa sama, katanya, data KKM menunjukkan tekanan besar ke atas perniagaan sah.

"Sebelum Akta 852 dikuatkuasakan, terdapat 3,200 jenama produk vape di Malaysia. Kini, kurang daripada 400 jenama yang tinggal," katanya.

Daripada 3,200 jenama, tegas beliau, kini hanya 390 yang mendaftar dalam tempoh kurang daripada setahun.

"Kejatuhan ini berpunca daripada ketidaktentuan peraturan. Apabila peraturan sentiasa berubah, jelasnya lagi, penggiat sah memilih untuk keluar, meninggalkan pengguna terdedah kepada produk tidak terkawal dan tidak selamat," katanya.

Larangan ini kata beliau, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, hanya akan memburukkan keadaan.

“Akta 852 sudah pun menyediakan rangka kerja nasional yang kukuh dengan perlindungan ketat untuk golongan bawah umur," katanya.

"Apa yang diperlukan ialah penguatkuasaan konsisten, hala tuju yang jelas, dan penyelesaian masalah secara kolaboratif – bukannya ketidaktentuan yang mendorong pengguna ke pasaran gelap,” kata Khairil lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!