Peti besi jadi tempat sorok syabu, pil yaba

PEKAN-Tiga individu termasuk pasangan suami isteri dicekup kerana disyaki terlibat mengedar dadah jenis syabu dan pil yaba yang dianggarkan bernilai RM32,000 disimpan di dalam peti besi di sebuah rumah di Kampung Geylang, di sini pada Ahad lalu.
Susulan penemuan dadah seberat 1.03 kilogram itu, polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 49 tahun di rumah tersebut serta pasangan suami isteri berusia 28 dan 48 tahun di Kampung Pelangkah pada tengah hari, hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam serbuan itu, polis turut menemui dan merampas kunci peti besi serta alat kawalan jauh kereta yang berada dalam poket salah seorang suspek.
Menurutnya, tiada wang tunai atau barang kes lain ditemui dalam serbuan berkenaan.
"Daripada keseluruhan berat dadah yang dirampas, sebanyak 831.90 gram merupakan syabu dan 201.06 gram lagi adalah pil yaba.
"Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan haram ini sejak awal tahun dengan menjadikan golongan penagih sekitar daerah ini dan Kuantan sebagai sasaran," katanya.
Tambahnya, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh dibekalkan kepada seramai 2,066 penagih.
"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif Methamphetamine.
"Semakan turut mendapati semua suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah, di mana salah seorang daripada mereka mempunyai 19 kes dadah dan satu kes jenayah," jelasnya.
Mohd Zaidi berkata, semua suspek kini direman selama enam hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
"Susulan kes ini, pihak polis turut menjalankan siasatan lanjut terhadap harta milik suspek untuk tindakan sitaan," katanya.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah agar menyalurkannya melalui Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pahang di talian 09-5051999/2202 atau hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang di 012-2087222, atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

