Bapa tenggelam di sungai selepas selamatkan anak

TANAH MERAH - Kegembiraan empat beradik bermain wau bersama bapa mereka bertukar tragedi apabila lelaki berkenaan dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Kelantan bagi menyelamatkan anak sulungnya yang tergelincir dari tebing sungai di Kampung Sat pada Isnin.
Mangsa, Saifuldin Ramli @ Ghazali, 46, yang bekerja sebagai pendawai elektrik, dikatakan keluar dari rumah pada jam 6 petang bersama empat anaknya bagi memenuhi hasrat anak bongsu lelaki berusia enam tahun yang beria-ria mengajak bermain wau yang baru dibeli.
Nenek kanak-kanak itu, Zaharah Ahmad, 75, berkata, ketika leka bermain, anak sulung mangsa berusia 11 tahun tiba-tiba tergelincir dari tebing dan ditarik arus deras sungai.

Katanya, mangsa yang menyedari anak perempuannya terjatuh, berlari dan terjun untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Dia sempat mencapai badan anak tersebut dan menghulurkannya ke arah seorang pemancing yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
“Saifuldin bagaimanapun terus tenggelam dan hilang dibawa arus,” katanya ketika ditemui di tepi Sungai Kelantan, Kampung Sat pada Isnin.

Menurutnya, anak bongsu mangsa segera menghubungi ibu mereka, Nor Fadlina Mohamad, 30-an, yang ketika itu sedang bekerja di sebuah kedai di Tanah Merah untuk memaklumkan insiden berkenaan.
“Isterinya kini masih dalam keadaan terkejut dan anak sulung mereka masih dirawat di Hospital Tanah Merah, namun dilaporkan stabil,” katanya.
Zaharah dalam pada itu reda dengan kejadian tersebut dan berharap jasad anaknya segera ditemukan.
“Kali terakhir saya lihat dia selesai makan sebelum keluar bersama anak-anak dengan kereta untuk bermain wau buat pertama kali di kawasan berdekatan sungai ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Mohd Rosmaidi Baharuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua dengan tumpuan di kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
Menurutnya, seramai lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah digerakkan dengan sokongan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan polis.
“Pasukan penyelam membuat selaman di sekitar radius 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

