Mangsa penipuan kerja tidak wujud lega dapat semula wang

GUA MUSANG – Seorang wanita menarik nafas lega apabila berjaya memperoleh perintah mahkamah untuk mendapatkan semula wang berjumlah RM2,600 selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan tidak wujud pada 21 Disember tahun lalu.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Gua Musang, Wan Suriani Wan Mohamed mengikut Seksyen 413(2) Kanun Tatacara Jenayah.
Permohonan perintah itu dikemukakan oleh Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Faris Mohd Yunus dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Sebelum itu, mangsa telah membuat laporan polis selepas terpedaya dengan tawaran kerja yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp di IPD Gua Musang pada hari yang sama.
Mangsa kemudiannya menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dan berjaya menyekat transaksi tersebut dengan bantuan agensi berkenaan.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ira, 37, merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, BSJK IPD Gua Musang, dan NSRC atas bantuan yang diberikan.
Katanya, beliau meluahkan rasa syukur dengan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
“Saya harap kejadian yang menimpa saya ini dapat dijadikan pengajaran supaya orang lain tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

