Kilang keropok ikan guna sijil halal tak sah diserbu

Sebanyak 880 kotak produk keropok ikan disita dalam serbuan di sebuah kilang keropok ikan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada Isnin.
Sebanyak 880 kotak produk keropok ikan disita dalam serbuan di sebuah kilang keropok ikan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada Isnin.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sebuah kilang memproses dan membekalkan keropok ikan di Hutan Melintang di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 11.30 pagi pada Isnin dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, kilang tersebut sedang menjalankan aktiviti mengeluarkan produk keropok ikan serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kilang berkenaan menggunakan logo halal pada bungkusan produk keropok ikan yang dikeluarkan, namun pemilik gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

“Susulan itu, sebanyak 880 kotak produk keropok ikan menggunakan logo halal tidak sah telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM40,299,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kamalludin berkata, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa pengesahan pihak berkuasa berwibawa.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda hingga RM200,000 dan bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM500,000.

Jelasnya bagi individu pula, denda boleh dikenakan hingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, manakala kesalahan berulang boleh dihukum hingga RM250,000 atau penjara lima tahun.

Sementara itu, Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan 1,750 liter minyak diesel dan 136 kilogram minyak masak peket yang disimpan tanpa sebarang kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barangan kawalan itu disita dengan nilai rampasan berjumlah RM5,065 menjadikan keseluruhan nilai rampasan serbuan sebanyak RM45,364.

"Pemilik kilang itu juga akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan minyak diesel serta minyak masak peket tanpa permit," katanya.

KPDN Perak turut menyeru orang ramai menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan produk makanan mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp ke talian 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!