Covid-19: 110 kes baharu dicatatkan

Dr Adham ketika sidang akhbar hari ini.
Dr Adham ketika sidang akhbar hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 terus menunjukkan peningkatan yang mana sebanyak 110 kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengah hari.

Ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 900.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Idham Baba berkata, daripada jumlah itu, seramai 20 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dirawat menggunakan bantuan pernafasan.

"Kita berharap agar mereka dapat melepasi situasi getir yang dialami," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu dicatatkan, sebanyak 63 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

"Selebihnya adalah daripada kluster- kluster kecil antaranya kontak rapat kes generasi kedua bagi kes ke-26," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 15 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

"Ini menjadikan kumulatif kes sebanyak 75," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai status kes melibatkan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Dr Adham berkata, KKM sedang menunggu laporan.

"Itu adalah sulit," katanya ringkas.

Awal hari ini, tular di media sosial Mohamad Shukri didakwa dalam keadaan kritikal akibat jangkitan Covid-19 namun perkara itu disanggah oleh anaknya.

Menurut anaknya yang enggan dinamakan, bapanya berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Mohammad Shukri dilapor mula bergejala selepas pulang dari Sarawak pada Khamis lalu sebelum membuat pemeriksaan di klinik pada Ahad dan diberikan cuti sakit.