PGA rampas minyak masak, gula, beras dan kosmetik

PASIR MAS – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai barang kawalan bersubsidi, beras serta produk kosmetik dalam siri operasi Op Taring Wawasan yang dijalankan di sekitar Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, dalam kejadian pada Ahad sekitar jam 4 petang, anggotanya berjaya merampas sebanyak 442 peket minyak masak selepas menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Kampung Siram, Pasir Mas.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di tepi jalan. Hasil pemeriksaan mendapati minyak masak berkenaan dipercayai cuba diseludup ke Thailand.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM31,000 dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Tambahnya, pada Sabtu kira-kira jam 7 petang, PGA turut melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Bandar Rhu, Tumpat selepas disyaki menyimpan barang kawalan bersubsidi tanpa lesen.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 5,491 kilogram (kg) minyak masak pelbagai jenama, 350kg beras dan 960kg gula disimpan di premis berkenaan tanpa lesen sah daripada KPDN.
“Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Anggaran nilai rampasan berjumlah RM32,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Menurut Nik Ros Azhan, pada hari sama kira-kira jam 3.30 petang, anggotanya turut menumpaskan cubaan penyeludupan produk kosmetik selepas menemukan beberapa kotak di pangkalan haram Epek, Rantau Panjang.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati produk kosmetik bernilai kira-kira RM33,000 itu dipercayai cuba dipasarkan ke pasaran tempatan.
“Kes diserahkan kepada pihak Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Nik Ros Azhan menegaskan, PGA akan terus memperhebat operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada negara, malah turut menjejaskan ekonomi tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


