Tekong darat positif dadah gagal seludup 2 PATI warga Nepal

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan seorang tekong darat yang positif dadah menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Nepal ke negara ini melalui pangkalan haram Kak Nah di sini pada Ahad.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 7.10 malam semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas dikesan memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang warga Nepal itu mempunyai pasport namun masuk ke negara ini secara tidak sah.

“Seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing ke atas tekong darat itu menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, pemandu berkenaan kini ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Dua warga Nepal itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

