Pemandu lori sorok lebih enam tan minyak masak, gula dicekup

Azman (dua dari kiri) memeriksa minyak masak peket yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto KPDN
Azman (dua dari kiri) memeriksa minyak masak peket yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto KPDN
A
A
A

TUMPAT – Seorang pemandu lori dicekup selepas dipercayai menyorok lebih enam tan barang kawalan termasuk minyak masak pelbagai jenama dan gula di sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, di sini pada Sabtu.

Suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat pembekal itu dipercayai mengambil kesempatan mendapatkan bekalan barang kawalan daripada beberapa pembekal untuk tujuan penjualan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, rampasan yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) itu melibatkan 5,493 kilogram (kg) minyak masak serta 960 kg gula yang disimpan di premis tidak berlesen.

“Difahamkan terdapat lima jenama minyak masak yang dirampas dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ia dibekalkan oleh pemborong yang sama atau berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memaklumkan, serbuan itu hasil risikan selama dua minggu sebelum pihak berkuasa bertindak.

Ujarnya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Azman, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol menyeludup barang kawalan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!