Dikejar PPM, penyeludup campak syabu RM352,000 ke laut

PPM Wilayah Satu merampas dadah jenis syabu dalam operasi khas di perairan Pulau Pinang. Foto kecil: Rusley
PPM Wilayah Satu merampas dadah jenis syabu dalam operasi khas di perairan Pulau Pinang. Foto kecil: Rusley
A
A
A

GEORGE TOWN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas 11 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM352,000 dalam satu operasi khas di perairan Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi itu dilancarkan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung cubaan penyeludupan dadah ke luar negara melalui jalan laut.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, sebuah bot ronda PPM jenis RH35 dengan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota berjaya mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.9 batu nautika dari Tanjung Gertak Sanggul, Teluk Kumbar.

“Bot berkenaan dikesan menuju ke arah perairan antarabangsa, dipercayai ke Indonesia tanpa menyalakan lampu navigasi. Pasukan kami cuba melakukan pintasan namun suspek memecut laju dan bertindak mengemudi bot dalam keadaan berbahaya.

“Semasa insiden itu, anggota kami melihat beberapa objek dibuang ke laut sebelum bot terbabit melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rusley berkata, hasil pencarian di kawasan terbabit, pasukan operasi menemukan sebuah tong biru yang ditutup rapat.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tong tersebut mengandungi 11 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan bertulis 'teh cina'.

“Setiap bungkusan mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat 11.190 kilogram bernilai RM352,000,” ujarnya.

Menurut beliau, kes berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sebatan minimum 15 kali jika sabit kesalahan," tambahnya.

Dalam pada itu, Rusley menegaskan bahawa PPM Wilayah Satu akan terus mempergiatkan rondaan, operasi serta risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan barangan terlarang lain di kawasan perairan negara.

“Kami komited memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan maritim yang menyalahi undang-undang boleh menghubungi Hotline PPM Wilayah Satu Pulau Pinang di talian 04-6558222 atau IPD Barat Daya di talian 04-8662222,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!