Aceh rancang buka laluan Laut Lhokseumawe-Pulau Pinang

Muzakir Manaf. Foto Agensi
Muzakir Manaf. Foto Agensi
A
A
A

BANDA ACEH – Gabenor Aceh, Muzakir Manaf atau lebih dikenali sebagai Mualem, menegaskan kerajaan wilayah itu kini meneliti pembukaan laluan laut antara Lhokseumawe dan Pulau Pinang sebagai usaha memperkukuh hubungan dagang dengan Malaysia.

Menurut beliau, inisiatif itu penting bagi menghidupkan semula tradisi perdagangan Aceh dengan negara jiran sebagaimana yang pernah diasaskan oleh nenek moyang mereka dahulu.

“Dahulu kita banyak bergantung kepada Medan dan Jakarta, namun kini tiba masanya kita mengalih pandangan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya ketika merasmikan Festival Perkusi Aceh 2025 di Monumen Samudera Pasai, Aceh Utara, Jumaat lalu.

Mualem berkata, laluan itu dijangka mempercepat aliran komoditi utama Aceh ke Malaysia sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Dalam ucapannya, beliau turut mengaitkan majlis itu dengan sejarah kegemilangan Kesultanan Samudera Pasai yang pernah muncul sebagai kerajaan Islam pertama di Nusantara pada 1267 Masihi.

Beliau menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan Aceh dengan rantau Melayu termasuk Malaysia dan Thailand, sambil merujuk kepada bukti sejarah seperti makam ulama sufi Aceh, Sheikh Syamsuddin As-Sumatrani, yang terletak di Kampung Ketek, Melaka. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!