RXZ Members 7.0: Seorang lagi peserta maut bertembung treler

Motosikal ditunggang mangsa terbabas sebelum merempuh sebuah treler di JRTB Gerik-Jeli pada Jumaat. Gambar kecil: Roziman
Motosikal ditunggang mangsa terbabas sebelum merempuh sebuah treler di JRTB Gerik-Jeli pada Jumaat. Gambar kecil: Roziman
A
A
A

GERIK - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Jumaat.

Difahamkan, mangsa, Roziman Abu Aziz, 36, dari Baling, Kedah, dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Gerik menuju ke Jeli dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian kanan bampar besi sebuah treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Hospital Gerik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Abdul Samad berkata, pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Gerik mengesahkan punca kematian akibat kecederaan dalaman pada abdomen berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihati orang ramai yang melalui jalan tersebut supaya lebih berhati-hati, terutama di kawasan selekoh, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!