[VIDEO] ‘Arwah beria ajak sertai konvoi RXZ Members, rupanya ini yang terakhir' - Rakan mangsa

A
A
A

REMBAU – “Patutlah arwah beria-ria ajak kawan-kawan pergi Himpunan RXZ Members 7.0, rupa-rupanya ini jadi konvoi terakhir dia bersama kami.”

Demikian kata Ikhwan Shafiq Mohd Zulkepli, 30, rakan kepada Allahyarham Mohd Syukri Shahrudin, 33, yang maut dalam kemalangan di Jalan Palong 8, Bera, Pahang pada Jumaat ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu.

Menurut Ikhwan Shafiq, mereka bergerak dari Rembau secara berkonvoi pada jam 2 pagi, namun dia terpisah dengan Allahyarham yang memilih laluan berbeza.

Nurul Wahida tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air di pusara Allahyarham yang selamat dikebumikan.
Nurul Wahida tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air di pusara Allahyarham yang selamat dikebumikan.

“Kami gerak secara berkonvoi seramai 30 orang dan isteri arwah serta tiga anak mereka berusia dua hingga lapan tahun pun ikut sekali menaiki kereta.

“Tapi saya terpisah dengan arwah kerana dia ikut Jalan Pasir Besar, Gemas, manakala saya melalui Bahau, Jempol,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Chembong di sini, pada Jumaat.

Kira-kira 1,000 yang hadir pada majlis pengebumian Allahyarham. Gambar kecil: Mohd Shukri
Kira-kira 1,000 yang hadir pada majlis pengebumian Allahyarham. Gambar kecil: Mohd Shukri

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dia kemudian cuba menghubungi Allahyarham namun panggilan tidak berjawab sebelum membuat keputusan menunggunya bersama rakan-rakan lain di Muadzam, Pahang.

Selepas satu jam menunggu, dia menghubungi isteri Allahyarham yang memaklumkan mereka masih berada di Pasir Besar.

“Tidak lama kemudian, seorang rakan telefon dalam keadaan menangis, memberitahu arwah terlibat kemalangan.

“Saya dah mula rasa tak sedap hati dan segera berpatah balik ke lokasi arwah. Namun sebaik sampai, dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Tambah Ikhwan Shafiq, pada awalnya dia tidak berhasrat menyertai konvoi tersebut kerana mempunyai rancangan lain.

Bagaimanapun, dia membatalkan rancangan itu kerana melihat Allahyarham begitu teruja dan bersungguh-sungguh mengajak kawan-kawan menyertai himpunan berkenaan.

“Seingat saya, memang tiap-tiap tahun Himpunan RXZ Members itu arwah akan pergi.

“Tapi kali ini yang sertai paling ramai iaitu 30 orang sebab arwah yang beria-ria ajak. Bila dah jadi macam ini, kami semua batalkan perjalanan ke sana,” katanya.

Nurul Wahida tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air di pusara Allahyarham yang selamat dikebumikan
Nurul Wahida tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air di pusara Allahyarham yang selamat dikebumikan

Sementara itu, Ikhwan Shafiq menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik dan pemurah dengan keluarga.

Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 5.15 petang dengan kira-kira 1,000 orang hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat.

Turut kelihatan isterinya, Nurul Wahida Aziz, 33, tiga anak, ibu serta nenek Allahyarham.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggangnya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus dengan dua hala laluan, berturap baik, permukaan rata, kering serta pencahayaan jelas pada waktu siang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!