Pecut motosikal sambil baring, tular sekumpulan penunggang RXZ buat aksi ‘Superman’

SHAH ALAM – Sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ sekali lagi mencuri perhatian apabila aksi berbahaya mereka tular di media sosial dipercayai ketika dalam perjalanan menuju ke program Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit 13 saat itu, kelihatan beberapa penunggang melakukan aksi 'Superman' iaitu meniarap di atas motosikal masing-masing sambil memecut laju di atas jalan raya.
Lebih membimbangkan, aksi mereka bukan sahaja berisiko mengundang kemalangan, malah hampir bergesel sesama sendiri ketika cuba menunjukkan 'skil' masing-masing.

Perbuatan berbahaya itu nyata mengundang pelbagai reaksi netizen khususnya mengecam tindakan mereka sebagai tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.
Antara komen ditinggalkan termasuklah aksi berbahaya seumpama itu dikhuatiri menyebabkan insiden kemalangan yang berlaku setiap kali program himpunan RXZ dianjurkan.
Bagaimanapun, ada juga yang menasihati agar penunggang motosikal itu menghargai nyawa sendiri dengan menunggang secara berhati-hati serta memikirkan keluarga menanti di rumah.
Setakat ini, tiga kes kematian membabitkan peserta konvoi RXZ dilaporkan melibatkan dua orang lelaki dan seorang wanita dalam kejadian berbeza pada hari sama.
Mangsa pertama, Mohd Syukri Shahrudin, 33, seorang eksekutif jualan bank, maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi di Jalan Palong 8, Bera, Pahang
Tidak lama kemudian, seorang jururawat, Roslinawati Ramli, 33, turut maut selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari.
Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan di Kilometer 370 LPT2 berhampiran hentian rehat dan rawat Bukit Besi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, dari Seri Kembangan, Selangor disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

