Peserta RXZ Members digilis lori

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Perjalanan seorang pekerja ladang dipercayai ke Kuala Terengganu untuk menyertai program RXZ Members 7.0 berakhir tragedi apabila lelaki itu putus kaki akibat digilis lori selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggang terbabas di Kilometer 21,Jalan Pekan-Rompin di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zain berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirulnizam Sarimon, 26, beralamat dari Felda Kahang Timur, Kluang, Johor cedera parah di kaki dan perut.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang dalam perjalanan dari arah Kahang Timur menghala ke Terengganu.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum dia jatuh di atas jalan lalu digilis tayar belakang lori yang berada di laluan bertentangan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

