Pelarasan kadar tarif pacu transformasi infrastruktur air Kedah

ALOR SETAR-Infrastruktur dan aset bekalan air merupakan nadi penting kepada operator bekalan air terawat dalam memastikan kemampanan mutu perkhidmatan air kepada pengguna.
Menyedari keperluan itu, pelbagai strategi dan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti aset dalam sistem bekalan air telah dimulakan sejak tahun 2023, dan akan terus diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa.
Komitmen Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam agenda ini turut diterjemahkan menerusi pembentangan Belanjawan SADA 2024 yang bertemakan Merevolusikan Bekalan Air Negeri Kedah Pengukuhan Aset Air Dalam Menjamin Kelestarian Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kedah dengan memberi fokus khusus kepada pembangunan dan pemuliharaan infrastruktur air secara menyeluruh.

Selaras dengan hal itu, pelaksanaan pelarasan kadar tarif air oleh SADA dan sembilan operator negeri lain yang bermula pada 1 Ogos 2025 lalu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri selepas melalui proses semakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah kajian Mekanisme Penetapan Tarif atau Tariff Setting Mechanism (TSM).
Langkah itu bukan sahaja menyokong pembangunan projek infrastruktur air yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri Kedah, malah turut membantu menampung peningkatan kos operasi, khususnya kesan daripada kenaikan tarif elektrik yang memberi impak besar kepada operator bekalan air di seluruh negara.

Dengan suntikan dana tambahan hasil pelarasan kadar tarif ini, SADA akan memberi tumpuan kepada langkah strategik seperti mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil atau Non Revenue Water (NRW), meningkatkan rizab margin bekalan air serta menambah baik kecekapan sistem agihan di seluruh rangkaian.
Antara inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan merangkumi projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, pembinaan LRA Sidam Kiri Fasa 1 dan LRA Sungai Karangan Fasa 1, LRA Kodiang Fasa 1. Selain itu, projek lain ialah LRA Padang Saga Fasa 4 dan 5 serta LRA Kulim Hi-Tech (compact plant), kerja kerja penggantian paip usang dan kritikal di seluruh negeri serta pemulihan sistem paip dan pembinaan rumah pam.
Inisiatif penting itu dapat membantu menangani isu ketidakcukupan bekalan air di beberapa kawasan sekitar negeri Kedah serta menyokong pertumbuhan sektor industri dan projek berimpak tinggi yang sedang berkembang pesat di negeri ini.

Kesemua inisiatif itu dianggarkan menelan kos belanja sekitar RM2.58 bilion, yang akan dibiayai secara berfasa melalui sumber pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), geran daripada Kerajaan Persekutuan dan peruntukan dalaman SADA sendiri.
SADA memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek dilakukan secara telus untuk meningkatkan keupayaan sistem bekalan air negeri sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman berkata, pelarasan kadar tarif itu bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya memberi ruang kepada SADA untuk melabur semula ke dalam sistem bekalan air negeri.

“Setiap sen yang diperoleh akan disalurkan untuk membiayai projek naik taraf, pembinaan infrastruktur baharu serta penyelenggaraan aset sedia ada demi memastikan rakyat Kedah terus menerima bekalan air terawat yang konsisten, berkualiti dan mampan,” katanya.
Dengan pendekatan holistik dan perancangan strategik yang dirangka rapi, SADA yakin pelaksanaan pelarasan kadar tarif itu akan menjadi pemangkin utama kepada transformasi sistem bekalan air di negeri Kedah.
SADA juga berharap sokongan berterusan daripada semua pihak akan memperkukuh inisiatif itu untuk memastikan bekalan air yang mencukupi serta berkualiti untuk generasi kini dan akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
