Dua beradik mengaku tidak bersalah tipu lebih RM2.4 juta

SEREMBAN - Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki dengan menyerahkan wang bernilai lebih RM2.4 juta pada dua tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Maimunah Aib.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Koh Chee Choong, 45, dan adiknya Koh Chee Wai,40, serta rakannya, Chah Chen Shin warga Singapura, dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 April hingga 6 Ogos 2018 dengan menggunakan enam akaun berbeza atas nama Fulda Malaysia Berhad, Fulda Automative and Travel Sendirian Berhad serta Vitcomex Sendirian Berhad.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bersama dua penjamin serta pasport ditahan bagi setiap tertuduh dan menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Hafiza Haron
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
