Jalur Gemilang terbalik: Lima kertas siasatan diserah kepada AGC

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan lima kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung insiden pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, sebanyak enam kes dilaporkan setakat ini, melibatkan negeri Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Daripada jumlah itu, lima kertas siasatan telah dibuka dan proses rakam keterangan juga telah diambil.
"Lima kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, manakala satu lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Mohd Khalid turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati undang-undang serta menjaga sensitiviti dan keharmonian negara, terutamanya ketika rakyat bersiap sedia menyambut ulang tahun kemerdekaan.
"Kita akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
