Provokasi politik, krisis peradaban

Etika politik perlu diperketat, dengan mewujudkan kod tingkah laku dan hukuman keras terhadap ugutan, penghinaan, serta provokasi ekstrem. Gambar hiasan
Etika politik perlu diperketat, dengan mewujudkan kod tingkah laku dan hukuman keras terhadap ugutan, penghinaan, serta provokasi ekstrem. Gambar hiasan
A
A
A

APABILA bendera dijadikan senjata, kata-kata bertukar menjadi peluru dan Parlimen berubah menjadi gelanggang cabar-mencabar, kita harus bertanya: ke mana arah politik negara?

Apakah Malaysia menuju pembinaan peradaban, atau hanyut dalam gelombang kebencian demi populariti?”

Politik provokasi dan ketandusan adab

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, politik Malaysia seakan menjelma menjadi teater sensasi. Dari ajakan bertumbuk di Dewan Rakyat, lontaran kata-kata kesat di media sosial, hinggalah serangan simbolik terhadap parti lawan. Semuanya mencerminkan krisis akhlak yang parah. Ahli politik yang sepatutnya tampil sebagai negarawan kini berubah menjadi ‘selebriti maya’.

Krisis ini bukan sekadar mencalarkan imej politik, tetapi menghakis nilai yang menjadi asas gagasan Malaysia Madani, iaitu sebuah visi yang sepatutnya berpaksikan adab, ihsan dan hikmah untuk membimbing rakyat. Jika gagasan Madani mahu dijadikan benteng nilai, maka krisis adab ini adalah musuh utamanya.

Budaya algoritma dan demokrasi emosi

Media sosial telah mengubah landskap politik moden. Provokasi menjadi mata wang, algoritma menjadi hakim. Siapa yang paling lantang dan ekstrem akan mendapat pentas utama, manakala suara rasional terkubur di celah engagement dan clickbait.

Demokrasi pun menurun taraf menjadi pesta emosi, selari dengan amaran Hannah Arendt bahawa politik yang berasaskan ‘passion without reason’ hanya akan melahirkan kehancuran.

Generasi muda, iaitu pengundi yang menentukan masa depan akhirnya dibesarkan dengan budaya ‘virality’, bukan budaya ilmu. Inilah tragedi politik algoritma: apabila hujah ilmiah kalah kepada video berdurasi 30 saat sarat fitnah dan kebencian.

Artikel Berkaitan:

Polarisasi identiti: Dari Huntington ke Ibn Khaldun

Fenomena ini mengingatkan kita kepada amaran Samuel P Huntington dalam The Clash of Civilizations, 1996:

“The fundamental source of conflict in this new world will not be primarily ideological or primarily economic. The great divisions among humankind and the dominating source of conflict will be cultural.”

Realitinya di Malaysia, politik berasaskan identiti kini menjadi fault line baharu: kaum, agama dan ideologi dijadikan garisan pemisah. Naratif ‘kami’ lawan ‘mereka’ mengakar, membunuh ruang dialog rasional.

Ibn Khaldun pula pernah menegaskan, tamadun runtuh apabila solidariti (Asabiyyah) musnah akibat kerakusan kuasa. Sejarah Melayu sendiri membuktikan perpecahan dalaman membuka pintu penjajahan asing. Apakah kita mahu mengulangi kesilapan itu?

Politik ketakutan dan kuasa naratif

Edward Said dalam Orientalism, 1978, menulis:

“The power to narrate, or to block other narratives from forming and emerging, is very important to culture and imperialism.”

Di Malaysia, kuasa naratif ini dimanipulasi oleh politikus untuk mencipta musuh dalaman dengan melabel pihak lawan sebagai pengkhianat bangsa, agama atau konspirator global.

Arnold Toynbee pula mengingatkan bahawa tamadun runtuh bukan kerana serangan luar, tetapi kerana kegagalan menjawab cabaran dalaman.

Apabila politik dipacu oleh ketakutan, bukan solusi, kita sebenarnya sedang meruntuhkan asas peradaban dengan tangan sendiri.

Malaysia Madani: Antara harapan dan realiti

Gagasan Malaysia Madani lahir dengan cita-cita luhur, bagi mewujudkan sebuah negara berteraskan ilmu, akhlak dan belas ihsan.

Namun, hakikatnya pemimpin kita masih terperangkap dalam budaya ‘trending’ dan retorik kosong.

Jalan keluar: Dari retorik ke reformasi

Krisis ini bukan takdir. Ia boleh diurus dengan keberanian politik dan tindakan berstruktur, dengan memulihkan semula martabat Parlimen bagi memastikan Dewan Rakyat kembali menjadi medan hujah berfakta, bukan gelanggang cabaran fizikal.

Etika politik perlu diperketat, dengan mewujudkan kod tingkah laku dan hukuman keras terhadap ugutan, penghinaan, serta provokasi ekstrem.

Lihat semula keperluan untuk mengimbangi kuasa algoritma melalui galakan serta penganjuran wacana berilmu di media, serta kawalan clickbait yang memanaskan politik tanpa menambah nilai.

Kita perlu lahirkan kepimpinan berwibawa, dalam erti kata lain, kita perlukan negarawan dan bukannya selebriti maya yang menunggang emosi rakyat demi populariti segera.

Kini pilihan di tangan kita: berani menuntut politik berakhlak atau terus hanyut dalam politik kebencian sehingga peradaban karam.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!