Warden bekas tentera: Ujian disiplin, tangani buli

Kehadiran warden berpengalaman dalam kalangan bekas tentera dan polis dilihat sebagai simbol perubahan bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi disiplin selain suasana asrama terkawal. Gambar hiasan
Kehadiran warden berpengalaman dalam kalangan bekas tentera dan polis dilihat sebagai simbol perubahan bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi disiplin selain suasana asrama terkawal. Gambar hiasan
A
A
A

PELANTIKAN beberapa bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula Khamis bukan langkah biasa.

Tindakan itu lahir daripada keresahan masyarakat selepas beberapa kes buli tular, termasuk insiden tragis yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Kejadian yang menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah itu mengundang persoalan besar tentang tahap keselamatan pelajar di asrama yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk mereka belajar dan membesar.

Susulan itu, beberapa remaja telah didakwa di mahkamah berhubung kes berkenaan.

Tindakan tegas tersebut menggambarkan kesungguhan pihak berkuasa menegakkan keadilan dan pada masa sama, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan langkah baharu bagi mengekang masalah buli daripada berulang.

Kehadiran warden berpengalaman dalam kalangan bekas tentera dan polis dilihat sebagai simbol perubahan bagi memastikan pelajar sentiasa mematuhi disiplin selain suasana asrama terkawal.

Mara mahu meyakinkan ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak bukan lagi isu yang dipandang ringan, namun pelantikan tersebut bukan hanya soal kawalan sebaliknya Mara menekankan warden baharu perlu menjadi ‘ibu bapa kedua’ yang mendidik, menasihat dan mendengar masalah pelajar.

Mereka tidak boleh sekadar dilihat sebagai penguat kuasa dengan pendekatan ketenteraan semata-mata.

Cabaran sebenar adalah menyeimbangkan ketegasan dengan kasih sayang kerana disiplin yang terlalu keras mungkin menimbulkan rasa takut, sedangkan pendidikan menuntut pendekatan yang membina jiwa remaja.

Artikel Berkaitan:

Inilah ujian besar kepada bekas tentera dan polis yang kini menggalas tanggungjawab baharu dengan menjadikan tempoh enam bulan pertama sebagai medan percubaan penting.

Sekiranya angka kes buli menurun dan pelajar berasa lebih selamat, ia satu petanda positif tetapi ukuran kejayaan sebenar perlu turut mengambil kira persepsi ibu bapa, guru dan pelajar sendiri.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada suara yang meragui keberkesanan langkah berkenaan, guru bimbang peranan mendidik tidak boleh hanya digalas dengan pengalaman disiplin.

Justeru, warden baharu wajar diberikan latihan tambahan dalam kaunseling asas, psikologi remaja dan kemahiran komunikasi agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam masa sama, prosedur operasi Standard (SOP) yang jelas perlu menjadi panduan utama bagi mengawal setiap tindakan agar selaras dengan prinsip pendidikan dan perlindungan hak kanak-kanak serta mengelakkan tindakan keterlaluan yang boleh mengundang kritikan baharu.

Langkah tersebut menunjukkan keberanian Mara mencari jalan baharu menangani masalah lama, jika berjaya ia mungkin menjadi model pengurusan disiplin kepada sekolah berasrama penuh lain di seluruh negara.

Akhirnya, pelantikan itu adalah ujian besar selepas kes Zara Qairina yang menggegarkan negara yang mana hari ini hanyalah permulaan, sementara enam bulan mendatang bakal menentukan sama ada pendekatan tersebut benar-benar mampu menghapuskan budaya buli di MRSM atau sekadar percubaan sementara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!