Bekas tentera mula tugas sebagai warden di MRSM

Bekas tentera mula tugas sebagai warden di MRSM. - Foto: MalaysiaGazette
Bekas tentera mula tugas sebagai warden di MRSM. - Foto: MalaysiaGazette
A
A
A

SHAH ALAM – Beberapa bekas tentera memulakan tugas sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang dan Besut, Terengganu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan projek rintis selama enam bulan dalam usaha menangani isu buli yang wajib dibanteras sekeras-kerasnya.

Menurut beliau, kajian keberkesanan inisiatif itu akan dijalankan dengan kerjasama pihak ketiga iaitu Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sekiranya hasilnya positif, jelas Asyraf Wajdi, pihaknya bakal mempertimbangkan perluasan skop kepada 57 MRSM di seluruh negara.

“Ramai berpandangan, termasuk guru dan masyarakat, bahawa tugas warden tidak lagi sesuai digalas oleh guru secara separuh masa. Elaun tambahan pula tidak sepadan dengan tanggungjawab mereka.

“Bebanan tugas hakiki guru juga tidak memungkinkan mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai warden yang memerlukan komitmen tinggi di luar waktu akademik.

“Justeru, inisiatif mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan pesara anggota beruniform yang sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka adalah satu pendekatan yang Mara cuba laksanakan dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mara melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa MRSM bertujuan memastikan isu buli serta kes disiplin lain dapat dikekang.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, langkah tersebut bagi menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat serta sejahtera buat semua pelajar.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut berharap agar inisiatif berkenaan mampu memberi manfaat dalam proses kemenjadian pelajar.

“Semoga ada manfaatnya untuk kemenjadian pelajar dan paling penting, dapat membanteras gejala buli yang sudah lama berakar umbi serta membudaya dalam kalangan segelintir pelajar,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!