Tukar nama Rafflesia perlu kajian teliti

KOTA BHARU – Cadangan menukar nama bunga Rafflesia dilihat sebagai langkah signifikan dalam konteks dekolonisasi minda, iaitu usaha membebaskan cara berfikir daripada pengaruh penjajah serta memulihkan identiti negara.
Dekan Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Zulhazman Hamzah berkata, cadangan itu mencerminkan hasrat untuk mengangkat warisan tempatan yang sudah lama wujud sebelum kedatangan penjajah Barat, namun perlu diteliti dari sudut sains, budaya dan praktikaliti.
Beliau yang berpengalaman 17 tahun membuat kajian bunga Rafflesia di Kelantan menegaskan, cadangan itu perlu mengambil kira pelbagai perspektif termasuk sejarah, budaya dan saintifik.
"Cadangan ini dilihat sebagai pemulihan maruah dan identiti nasional kerana nama Rafflesia diberikan oleh Mr Robert Brown pada 1821 sempena penemuannya oleh Sir Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold pada 1818 di Bengkulu, Sumatera Barat.
“Penukaran nama kepada istilah tempatan, seperti bunga Pakma atau nama mengikut etnik, mengiktiraf bahawa masyarakat tempatan sudah lama mengenali bunga ini sebelum ia ditemui Barat, seterusnya mengalihkan naratif daripada penjajah kepada masyarakat asal,” jelasnya.
Tambah Dr Zulhazman yang juga Pengerusi Majlis Dekan UMK, usaha ini juga dapat memelihara warisan budaya dan linguistik setiap etnik di Malaysia.
Beliau memberi contoh orang Kelantan memanggilnya bunga Pokma, Orang Asli Temiar Lojing menyebutnya bunga Malang, Kadazan-Dusun memanggil bunga Patma, masyarakat Melayu Selatan Thai menyebut bunga Kekmo, manakala di Thailand dikenali sebagai Bua Put.
Nama-nama tempatan ini katanya, membantu mempromosikan khazanah linguistik dan pengetahuan tradisional.
Dr Zulhazman berkata, proses penukaran nama boleh dijadikan platform pendidikan untuk mengajar sejarah prapenjajahan, kepelbagaian biologi di Malaysia serta kepentingan pemuliharaan alam semula jadi, selain turut memupuk semangat cintakan tanah air.
“Secara simbolik, ini juga pengisytiharan bahawa Malaysia memiliki sepenuhnya sumber dan warisannya, bebas daripada legasi penjajah,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, dari perspektif saintifik dan global, nama Rafflesia sudah digunakan dalam literatur antarabangsa lebih 200 tahun, meliputi lebih 40 spesies di lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei.
“Menukar nama di peringkat kebangsaan berisiko menimbulkan kekeliruan dalam sistem penamaan spesies standard.
"Selain itu, aspek kos dan praktikal juga perlu diteliti. Semua buku teks, papan tanda taman negara, pusat pelancongan, bahan promosi dan laman web kerajaan perlu diubah, yang memerlukan peruntukan kewangan serta masa yang besar.
“Dari sudut konsensus, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Pemilihan satu nama tempatan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati daripada kumpulan etnik lain yang merasakan nama mereka lebih wajar digunakan,” katanya.
Dr Zulhazman menegaskan, memberi keutamaan kepada usaha pemuliharaan bunga Rafflesia sebagai spesies terancam adalah lebih penting daripada perdebatan mengenai penukaran namanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya nama bunga Rafflesia ditukar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

