Kedah mohon Persekutuan beri kebenaran hasil benih padi sendiri

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah meminta kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan untuk membenarkan negeri itu menggunakan varieti benih padi yang dihasilkan sendiri, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan benih padi sah serta hasil yang menjejaskan pesawah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, alangkah baik diberikan sedikit kelonggaran atau diperkemaskan peraturan mahupun undang-undang untuk menguatkuasakan varieti padi sah untuk tanaman.
Menurutnya, kebijaksanaan dan pengalaman petani tempatan puluhan tahun dahulu menghasilkan benih padi kegunaan sendiri sepatutnya diiktiraf, selain tidak terikat sepenuhnya kepada peraturan antarabangsa berkaitan kawalan varieti benih, racun dan baja.
“Kita perlu iktiraf pengalaman petani terdahulu yang bergelumang dengan sawah padi puluhan tahun, namun bila padi diuruskan secara profesional oleh agensi dan jabatan, kita menghadapi masalah ketiadaan benih dan varieti tidak tahan penyakit.
“Ia beri kesan besar kepada pesawah dan hasil padi. Alangkah baiknya kalau ruang untuk kebijaksanaan tempatan dibuka di pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, janganlah kita hanya bergantung kepada benih luar yang dipatenkan hingga menutup ruang kepada penghasilan benih padi sendiri.
“Oleh kerana kita terikat perjanjian tertentu di peringkat antarabangsa, semua benih dan racun dipaten dan dikawal. Tak boleh hasilkan sendiri dan tak boleh jual. Saya rasa itu menyekat kebebasan kita.
“Kita ada kebijaksanaan hasilkan varieti benih padi di peringkat tempatan, sepatutnya ia tidak diikat sedemikian,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang menjalankan projek perintis penghasilan benih padi Kedah melalui Jabatan Pertanian di Tobiar, Pendang.
“Jika projek ini berjaya, kita harap benih padi Kedah dapat menampung kekurangan benih sah sedia ada, malah mampu memberi hasil lebih baik kerana sesuai dengan tanah, cuaca dan budaya tempatan.
“Kita bukan hendak mencabar sesiapa, sebaliknya melengkapkan apa yang kurang dalam sistem sekarang,” katanya.
Muhammad Sanusi tegaskan, hasil projek tersebut akan dikemukakan kepada kementerian sebagai cadangan varieti baharu untuk kelulusan, sekali gus memberi pilihan lebih baik kepada pesawah di negeri ini.
“Kedah adalah pengeluar padi utama negara. Maka adalah wajar kita diberi ruang mencuba menghasilkan benih sendiri, agar tidak terus terikat dengan kawalan pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan mengikut prosedur ditetapkan dalam menghasilkan benih padi sendiri tanpa membelakangkan KPKM.
“Kita mesti dapatkan kebenaran sebelum gunakan benih padi keluaran Kedah, kita bergerak dalam landasan peraturan dan tatakelola,” ujarnya.
Sebelum itu, DUN Kedah meluluskan usul Pelaksanaan Program Pembiakbakaan Tanaman Padi oleh Komuniti untuk memperkayakan kepelbagaian varieti benih padi, dibentangkan ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
PIC
Muhammad Sanusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

