Covid-19: Mereka bukan jemaah tabligh Sri Petaling

Pusat Markaz Dakwah dan Tabligh Sri Petaling. - Foto Sumber Internet
Pusat Markaz Dakwah dan Tabligh Sri Petaling. - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Syura Markaz Dakwah dan Tabligh Sri Petaling yang mewakili majoriti jemaah tabligh di negara ini yakin tiada jemaah mereka terlibat dengan acara Ijtima of Asia 2020, di Indonesia.

Jurucakapnya, Mohd Khairi Mohd Akbar berkata, semua jemaah telah dimaklumkan untuk mematuhi arahan kerajaan.

Beliau juga mengesahkan tidak pernah menghantar mana-mana jemaah untuk ke acara itu.

"Kami dah maklum kepada semua (jemaah) untuk taat kepada undang-undang. Kita kawal pergerakan jemaah kita. Mereka bukan jenis boleh pergi sesuka hati ke mana mereka nak pergi.

"Semua pegerakan kita dibuat dengan mesyuarat. Maksudnya jika siapa-siapa nak pergi mana-mana dia akan datang ke Masjid Sri Petaling dan akan bermesyuarat...Jemaah ini akan ke negara mana, siapa yang nak pergi dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jumlah jemaah yang bernaung di bawah kumpulan mereka adalah seramai kira-kira 50,000 hingga 60,000 orang.

Namun katanya, sekiranya terdapat orang awam atau jemaah daripada satu lagi kumpulan tabligh di negara ini yang terlibat dengan acara itu, ia adalah diluar pengetahuan kumpulannya.

"Saya pun tak tahu siapa yang pergi, berapa ramai. Kami pun tak ada hubungan langsung dengan mereka. Saya pun baru tahu ijtima tu semalam dianjurkan di sana (Indonesia)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, acara Ijtima of Asia 2020 itu telah dibatalkan dan Kerajaan Indonesia juga sepakat untuk meletakkan semua peserta dalam tempoh kuarantin sebelum menghantar jemaah pulang ke negara masing-masing.

Media melaporkan, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, meskipun pihak kedutaan sudah mengeluarkan larangan supaya rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

Sejumlah 83 rakyat Malaysia dilapor sudah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Sementara itu, Mohd Khairi juga mengesahkan beliau telah disahkan positif Covid-19 semalam dan telah dibawa ke Hopital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada kira-kira 280 jemaah tabligh yang dikuarantin di dalam Masjid Jamek Sri Petaling selepas berlakunya penularan wabak berpunca daripada perhimpunan Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di situ pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

"Semua jemaah yang dikuarantin perlu melalui ujian saringan. Sesiapa yang dikenal pasti positif akan dibawa keluar. Masjid juga akan ditutup sehingga hujung bulan ini dan akan dibersihkan sebelum dibuka," katanya.