KPM dicadang lantik veteran ATM jadi warden asrama tangani buli - MP Ketereh

Khlir Mohd Nor
Khlir Mohd Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) dicadang supaya melantik veteran Angkatan Tentera (ATM) sebagai warden asrama bagi mengelak kejadian buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah ketika ini.

Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, cadangan itu mengambil kira pengalaman dan disiplin tinggi yang dimiliki bekas anggota pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, kes membabitkan Zara Qairina Mahathir,13, yang dikaitkan dengan perbuatan buli seharusnya membuka mata semua pihak untuk mengambil tindakan yang lebih serius.

“Saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan agar mengambil veteran ATM ini untuk dijadikan sebagai warden di asrama bagi mengelakkan kejadian buli yang kerap berlaku di asrama sekolah sekarang,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Kisah Zara Qairina mendapat liputan meluas, sama ada daripada media arus perdana mahupun warga maya, khususnya apabila jenazahnya dikeluarkan semula 23 hari selepas dikebumikan menerusi proses gali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, di Sipitang, Sabah.

Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Mengulas lanjut, Khlir berkata, selain inisiatif untuk menangani kes buli, pengambilan bekas tentera itu juga secara tidak langsung mampu membantu bekas tentera menjana pendapatan.

Katanya, rata-rata pesara tentera berdepan tekanan dengan kos sara hidup yang tinggi memandangkan jumlah pencen yang diterima amat rendah.

“Kebanyakan veteran ini mereka bekerja di zaman darurat, dengan masalah pencen yang rendah dan terpaksa menanggung hutang seperti rumah membuatkan mereka tertekan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, dengan adanya cadangan ini secara tidak langsung mampu membantu bekas tentera untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!