X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang dikenakan tindakan susulan pencemaran Sungai Selangor

Loy Sian (dua kiri) berbincang sesuatu sewaktu turun padang ketika tinjauan di premis berkenaan. Foto: Ihsan LUAS
A
A

RAWANG - Pemilik sebuah kilang penyelenggaraan mesin dan jentera sekitar Taman Industri Integrasi di sini dikenakan tindakan selepas menyebabkan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, Selasa lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya berkata, berdasarkan siasatan menyeluruh semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang mengalir masuk ke longkang dan seterusnya ke Sungai Gong.

Katanya, siasatan dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

"Premis itu juga gagal menjalankan penstoran sisa minyak berjadual mengikut syarat ditetapkan. Berikutan itu, LUAS menjalankan pensampelan minyak dan gris serta pemeriksaan saring hidrokarbon di titik pelepasan akhir premis serta Sungai Gong.

"Susulan itu, surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 turut dikeluarkan kepada pemilik premis terbabit untuk tindakan pembersihan segera," katanya.

Sisa minyak ditemui di aliran pelepasan akhir yang mengalir ke Sg. Gong. Foto: Ihsan LUAS
Sisa minyak ditemui di aliran pelepasan akhir yang mengalir ke Sg. Gong. Foto: Ihsan LUAS

Terdahulu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan insiden tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Punca pencemaran bau dari kawasan perindustrian: LUAS

Dalam pada itu, LUAS berkata, JAS turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik kilang membabitkan kesalahan pengurusan bahan buangan terjadual tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Premis itu turut disita oleh MPS," katanya.

Dalam perkembangan sama, LUAS berkata, pihaknya turut menempatkan Karbon Diaktifkan (AC) di Sungai Gong berhampiran premis terbabit bagi mengawal pencemaran bau sekitar satu ton.

Tambahnya, pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan dilakukan selepas ini bersama agensi berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Semua pihak prihatin terhadap kawasan sumber air negeri terutama sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus