Benang telekung masuk mulut ketika solat, batal atau tidak?

SOLAT tidak batal sekiranya ada benang yang masuk ke dalam mulut selagi mana seseorang itu tidak menelannya dengan sengaja. -Foto: CANVA
SOLAT tidak batal sekiranya ada benang yang masuk ke dalam mulut selagi mana seseorang itu tidak menelannya dengan sengaja. -Foto: CANVA
A
A
A

KETIKA menunaikan solat, tiba-tiba terasa ada seurat benang telekung atau pakaian termasuk ke dalam mulut.

Lebih mencemaskan apabila benang itu secara tidak sengaja melekat pada lidah atau gigi.

Apabila ‘bendasing’ itu berjaya dikeluarkan, kita pula tertelan air liur. Situasi itu membuatkan kita terfikir tentang status solat yang sedang dikerjakan.

Keadaan sebegitu boleh dikatakan sering dialami dalam kalangan jemaah terutama wanita yang memakai telekung ketika solat.

Apakah pandangan syarak tentang perkara itu?

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, solat tidak batal sekiranya ada benang yang masuk ke dalam mulut selagi mana seseorang itu tidak menelannya dengan sengaja.

“Bahkan, perbuatan menelan air liur setelah itu juga tidak membatalkan ibadah yang sedang dikerjakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan dalam portal ekemusykilan.penang.gov.my.

DALAM kes benang telekung, ia bukanlah satu benda yang bersifat mencair atau larut bersama dengan air liur yang mengubah rasa atau warna air liur. Maka, solat tidak batal sekiranya individu itu menelan air liur yang terkena benang yang ada di dalam mulutnya. -Foto: CANVA
DALAM kes benang telekung, ia bukanlah satu benda yang bersifat mencair atau larut bersama dengan air liur yang mengubah rasa atau warna air liur. Maka, solat tidak batal sekiranya individu itu menelan air liur yang terkena benang yang ada di dalam mulutnya. -Foto: CANVA

Artikel Berkaitan:

Dalam perihal kesahihan solat, jabatan mufti itu menjelaskan, ia bergantung kepada kepatuhan seseorang dalam memenuhi rukun dan syarat solat serta menghindari perkara yang boleh membatalkannya.

“Para fuqaha telah membahaskan dengan terperinci mengenai perbuatan yang boleh menyebabkan solat terbatal sama ada dari aspek percakapan atau perbuatan.

“Antara perbuatan yang membatalkan solat adalah makan dan minum dengan sengaja walaupun dalam kuantiti sedikit. Hal ini bertepatan dengan pandangan ulama seperti Dr Muhammad Zuhaili dalam kitab Al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e dan Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang menelan sesuatu tanpa sengaja, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, solatnya tidak terbatal asalkan jumlah yang ditelan itu sedikit.

Para fuqaha menetapkan ukuran ‘banyak’ adalah seumpama sebesar biji kacang kuda.

“Adapun, sekiranya seseorang menelan sesuatu dengan kadar yang banyak, maka ia boleh membatalkan solatnya walaupun berlaku secara tidak sengaja,” katanya.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, jabatan mufti itu menjelaskan, menelan air liur ketika solat tidak membatalkan sembahyang, sama seperti dalam ibadah puasa.

MENELAN air liur ketika solat walaupun dalam jumlah yang banyak tidak membatalkan sembahyang, sama seperti dalam ibadah puasa.
MENELAN air liur ketika solat walaupun dalam jumlah yang banyak tidak membatalkan sembahyang, sama seperti dalam ibadah puasa.

Jabatan mufti itu kemudian memetik pandangan Dr Muhammad Zuhaili dalam kitab Al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafie yang menyebut:

“Solat tidak batal dengan menelan air liur walaupun dalam jumlah yang banyak kerana ia tidak membatalkan puasa, maka ia juga tidak membatalkan solat.”

Namun, sekiranya air liur bercampur dengan sesuatu yang mengubah warna atau rasa seperti darah gusi atau makanan yang larut contohnya gula, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan, menelannya boleh menyebabkan solat terbatal.

Hal ini berdasarkan pandangan ulama dalam kitab Fath al-Mu’in dan Al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e.

“Sekiranya perkara yang masuk dalam mulutnya itu bukan daripada benda yang boleh larut, maka ia tidak membatalkan solat.

“Dalam kes benang telekung, ia bukanlah satu benda yang bersifat mencair atau larut bersama dengan air liur yang mengubah rasa atau warna air liur.

“Maka, solat tidak batal sekiranya individu itu menelan air liur yang terkena benang yang ada di dalam mulutnya,” jelas artikel itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!