Makmum baca kuat ketika solat jemaah, ketahui hukumnya

ADAKALANYA kita berasa terganggu apabila terdengar makmum membaca bacaan dalam solat berjemaah dengan suara yang terlalu kuat.
Keadaan itu boleh menyebabkan jemaah lain sukar untuk memberi tumpuan terhadap bacaan mereka sendiri khusunya yang melibatkan rukun qauli.
Mengulas perkara itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, terdapat lima hukum berkaitan tahap kekuatan suara ketika membaca bacaan dalam solat yang perlu difahami oleh umat Islam.

Berikut penjelasan beliau:
1. Afdal - Bacaan cukup sekadar didengari oleh telinga sendiri.
2. Harus - Bacaan didengari oleh makmum di sebelah kanan dan kiri.
3. Makruh - Bacaan didengari oleh lebih ramai orang termasuk jemaah di sebelah makmum kedua.
4. Haram - Bacaan terlalu kuat hingga mengganggu ‘majlis’ iaitu solat berjemaah.
5. Tidak sah - Ini kesilapan yang kerap berlaku apabila makmum langsung tidak membaca. Bacaan dalam solat mesti dilafazkan hingga terdengar pada telinga sendiri. Jika tidak, solat dianggap tidak sah.

Justeru, Ustaz Azhar mengingatkan agar umat Islam mengawal suara ketika membaca bacaan dalam solat agar tidak mengganggu jemaah lain.
“Betulkan kembali jika baca terlalu kuat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.
Sementara itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, rukun qauli merupakan antara rukun utama dalam solat yang wajib dibaca oleh mereka yang mendirikan solat, sekurang-kurangnya bacaan itu didengari oleh telinganya sendiri.
Jelas beliau, terdapat lima rukun qauli iaitu takbiratulihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada tasyahud akhir dan salam.
“Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya.

“Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri, begitu juga dengan rukun qauli yang lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk #108 Bacaan rukun qauli dalam solat yang disiarkan di laman web zulkiflialbakri.com.
Beliau kemudian mengemukakan pandangan dinukilkan dalam kitab Al-Majmu’ karya Imam An-Nawawi yang menyebut, sunat bagi makmum untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah.
“Kadar minimum (bacaan) adalah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya.
“Ini termasuklah bacaan al-Fatihah, surah, tasbih, tasyahud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun yang sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca,” demikian menurut artikel berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
