Rayuan semakan gagal, Peter Anthony kekal dipenjara 3 tahun

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kekal dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 berhubung kesalahan pemalsuan dokumen selepas Mahkamah Rayuan di sini menolak permohonan semakannya pada Rabu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Peter terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata, ketiadaan laporan polis dalam penghakiman ringkas panel terdahulu tidak menyebabkan berlaku salah laksana keadilan kerana isu itu telah dijelaskan dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu.
Menurut beliau, sukar untuk menganggap perkara itu tidak dipertimbangkan panel berkenaan.
“Bukan tugas kami untuk mendengar kembali persoalan yang melibatkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan oleh panel sebelum ini,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Dalam prosiding itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla hadir bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkenaan selaku pemohon, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Berdasarkan notis usul itu, beliau memohon mahkamah mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Selain itu, beliau turut memohon pembatalan waran memenjarakan yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan kes tersebut.
Mahkamah Rayuan ketika itu memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Peter turut memfailkan rayuan pada 19 April 2023, namun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Peter selaku Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

