MAIS salur RM19.4 juta bimbing 15,288 asnaf riqab

MAIS mengadakan pelbagai program kesedaran dan pemulihan melibatkan masalah sosial serta akidah.
MAIS mengadakan pelbagai program kesedaran dan pemulihan melibatkan masalah sosial serta akidah.
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan sebanyak RM19.4 juta daripada peruntukan zakat asnaf riqab sepanjang tahun 2024 bagi membantu 15,288 golongan terbabit yang memerlukan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bentuk bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

MAIS dalam kenyataannya memaklumkan, peruntukan itu diagihkan menerusi sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Pembimbing Riqab serta Sumbangan Kebajikan Asnaf Riqab.

Selain itu, program pemulihan dan pencegahan turut dilaksanakan di tiga Rumah Pemulihan Majlis serta 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu individu terbabit mengatasi masalah sosial dan akidah yang dihadapi.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM18.4 juta pula diperuntukkan dan sehingga Jun lalu, MAIS telah menyantuni seramai 2,160 golongan asnaf riqab di negeri ini melalui bimbingan serta bantuan kebajikan.

"Sehingga kini, seramai 168 orang Pembimbing Al Riqab telah dilantik bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar dan diredai,” ujar kenyataan itu pada Rabu.

Menurut MAIS, asnaf riqab merujuk kepada individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah termasuk penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), orang Islam yang terpesong agama, terjebak dalam amalan syirik serta khurafat, selain kategori lain yang telah ditafsirkan pada 2012.

Bagi memperkukuh inisiatif pemulihan, MAIS menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Al Riqab 2025 bermula 1 hingga 31 Ogos ini bagi memberi informasi terkini berkaitan usaha pemulihan asnaf riqab di Selangor.

“Kempen ini dilancarkan oleh Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Riqab, Prof Dr Sallahiah Hanin Hamjah, sempena Seminar Hijrah Merdeka bertemakan Kemerdekaan Tanpa Roh,” ujarnya.

Antara program yang diadakan sepanjang kempen ialah Forum Riqab, Ceramah Informasi Asnaf Riqab, Program Bimbingan Asnaf Riqab, Kaunter Penerangan Riqab, Ittifal Amal Islami Rumah Pemulihan Riqab dan Seminar Riqab Negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

MAIS menegaskan, sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Selangor, ia bertanggungjawab melaksanakan program kesedaran dan pemulihan melibatkan masalah sosial serta akidah.

“Penganjuran kempen ini diharap dapat menyediakan ruang serta maklumat kepada umat Islam untuk lebih dekat mengenali asnaf riqab dan memahami cabaran yang dihadapi golongan itu, selain meningkatkan kesedaran terhadap isu akidah serta gejala sosial masa kini,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh mengikuti platform media sosial MAIS atau melayari laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!