Tipu RM1.3 juta: Mahkamah arah Elenggo jalani pemeriksaan psikiatri

SUNGAI PETANI - Mahkamah Majistret di sini mengarahkan bekas kakitangan sebuah sekolah antarabangsa yang didakwa atas tuduhan penipuan, dibawa menjalani pemeriksaan psikiatri.
Majistret Mohamad Azlan Basri memberi arahan tersebut kepada tertuduh, V Elenggo, 56, agar lelaki itu dihantar ke hospital bagi mendapatkan laporan mental.
Tindakan itu diperintahkan selepas tertuduh mengaku kepada mahkamah bahawa ketika ini, dia tinggal di sebuah pusat jagaan mental.
Dalam mahkamah berlainan, Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi juga memerintahkan Elenggo dibawa bagi mendapatkan pengesahan sakit mental di hospital seperti mana arahan pertama.
Pada Julai lalu, Elenggo didakwa atas 58 pertuduhan dalam dua mahkamah berlainan membabitkan kes penipuan kira-kira RM1.3 juta, lima tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya mangsa yang merupakan bekas rakan sekolah, T Chandrarajan, 56, bagi membiayai pelbagai jenis projek fasiliti di sekolah antarabangsa tersebut antaranya melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem dan peralatan kemudahan.
Perbuatan itu mendorong mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan dari Kedah untuk menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah anggaran RM1.3 juta melalui dalam talian ke pelbagai akaun bank bermula Februari hingga Julai 2020.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Kes akan bersambung pada 17 September depan.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

