Ikut kuarantin cara China

A
A
A

KORONAVIRUS (Covid-19) kini semakin serius. Bermula semalam, rakyat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac depan untuk mengekang wabak tersebut. Langkah kawalan ini melibatkan prosedur dan kawalan ketat yang diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menuntut semua pihak memberikan komitmen yang tinggi.

Dalam masa sama, rakyat dinasihatkan supaya patuh kepada arahan agar sentiasa berada di rumah. Orang ramai yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan hukuman penjara.

Ini tidak bermakna kita tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan produktiviti. Inilah masa terluang dan keemasan untuk menumpukan kepada jalinan dan kasih sayang bersama di rumah.

Inilah juga masa untuk kita reset, relook dan review segala kerja yang tertangguh dek kekangan masa. Kita boleh meningkatkan aktiviti kekeluargaan, membaiki kerosakan kecil, atau meneliti dokumen percukaian dan bayaran bil secara atas talian. Banyak kerja tertangguh boleh dilakukan ketika ini.

Bagi mereka yang diarahkan bekerja dari rumah, keutamaan adalah untuk melakukan tugas seolah-olah kita bekerja di pejabat. Kita perlu patuhi amalan terbaik sebagai penjawat awam atau apa juga kerjaya. Kita perlu mengutamakan produktiviti dalam apa juga keadaan.

Sebenarnya, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri adalah lockdown atau separa berkurung bukanlah perintah berkurung sepenuhnya atau complete lockdown.

Apa yang berlaku sehingga semalam ialah ramai pula yang berpusu-pusu pulang ke kampung. Sedangkan arahan kerajaan adalah jelas bahawa orang ramai perlu tinggal di rumah dan tidak ke mana-mana.

Kita perlu daripada belajar pengalaman China yang kini dilaporkan berjaya mengawal Covid-19. Menurut laporan, bukan sahaja wilayah Hubei dan Wuhan yang dikuarantin malah seluruh China.

Artikel Berkaitan:

Ketika tempoh kuarantin, hanya seorang wakil isi rumah yang dibenarkan keluar untuk mendapat barang keperluan penting setiap dua atau tiga hari. Keperluan penting itu bermaksud hanyalah kedai barangan keperluan, pasar raya, farmasi dan klinik yang dibuka.

Ketika ini rakyatnya tidak boleh melepak, berjalan tanpa tujuan. Jika melanggar larangan, pihak polis akan menasihatkan mereka balik ke rumah. Semua orang di China perlu memeriksa suhu sebelum memasuki mana-mana bangunan. Kuarantin ini berlaku selama 40 hari termasuklah tidak bersekolah dan tidak ke tempat kerja.

Jika keluar rumah, mereka perlu memakai topeng muka dan membawa cecair pembasmi kuman.

Malah, jika terpegang butang lif mereka akan mencuci tangan sebelum masuk ke dalam kereta dan memegang barangan lain.

Mereka juga perlu mencuci barangan dibeli termasuk plastik dan beg pakai semula, kunci kereta, wang dan telefon bimbit.

Kita sedar bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam Perintah Kawalan Pergerakan itu menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian. Tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang telah meragut dua nyawa setakat ini.

Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Kita juga berharap semua pihak dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan sambil lewa dan sentiasalah bertenang.

Percayalah dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara