Covid-19 dan hubungan AS-China

A
A
A

HUBUNGAN Amerika Syarikat (AS) dan China kembali tegang. Dalam keadaan seluruh dunia sedang berhadapan wabak Covid-19, Presiden Donald Trump menggelar koronavirus sebagai ‘virus China’. Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo turut merujuk koronavirus sebagai ‘koronavirus China’ atau ‘virus Wuhan’.

Tindakan Trump ini dilihat sebagai tindak balas kepada kenyataan Kementerian Luar China, khususnya pegawai bernama Zhao Lijian yang menuduh bahawa tentera AS yang menyebarkan virus tersebut.

Beliau menulis: “Siapa pesakit pertama dan bila ia bermula? Berapa ramai yang dijangkiti? Apakah nama-nama hospital terbabit? Kemungkinan memang tentera AS yang membawa wabak itu ke Wuhan. Tolonglah telus! Umumkan data anda. Jelaskan kepada kita!”

Kenyataan pegawai Kementerian Luar China ini boleh didasarkan kepada tiga hakikat: Kenyataan Dr. Robert Redfield (Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS; kehadiran 176 tentera Amerika dalam acara Military World Games di Wuhan pada Oktober 2019, serta kedudukan strategik Wuhan yang merupakan lokasi pembinaan kapal perang yang besar dan produktif di China – sekali gus menjadi tapak perluasan kuasa Beijing mencabar dominasi Amerika di Laut China Selatan.

Kenyataan Zhao Lijian itu disertakan dengan video Dr. Robert Redfield yang mendedahkan bahawa di AS sememangnya wujud kes pesakit sah meninggal dunia kerana positif koronavirus, tetapi awalnya didiagnosis sebagai influenza.

Pakar penyakit berjangkit China yang menemui SARS pada 2003 iaitu Zhong Nanshan mengadakan sidang akhbar pada 27 Februari 2020 mengatakan bahawa “jangkitan yang pertama memang terjadi di China, tetapi virus itu tidak semestinya berasal dari China.” Sehari selepas sidang media Zhong Nanshan itu, seorang pesakit di AS disahkan positif koronavirus sedangkan beliau tidak pernah melawat mana-mana negara mahupun berinteraksi dengan pesakit positif virus tersebut. Ringkasnya bermakna virus yang agresif itu tidak semestinya berasal dari China.

Kali pertama

Acara Military World Games di Wuhan pada Oktober 2019 dihadiri lebih 100 orang tentera AS. Wabak koronavirus disahkan pertama kali merebak pada November 2019, iaitu tidak lama selepas berakhirnya acara tersebut. Wuhan juga ialah lokasi kritikal pembinaan angkatan kapal-kapal perang tentera laut China.

Artikel Berkaitan:

Wuhan menempatkan syarikat Wuchang Shipbuilding Industry Group yang bertanggungjawab membina kapal-kapal selam untuk tentera laut China serta Naval University of Engineering yang menghasilkan pelbagai teknologi dasar laut untuk tentera China.

Pada 2018, Wuchang Shipyard dikesan menjadi lokasi pemasangan ‘electromagnetic gun’ (railgun) di ‘landing ship’ Haiyang Shan sekali gus menjadikan China negara pertama di dunia yang memasangnya di ‘landing ship’.

Antara projek utama tentera China yang diunjurkan terjejas dengan wabak koronavirus ialah pembinaan kapal pengangkut pesawat China yang ketiga serta pembinaan pesawat-pesawat pejuang yang baharu.

Jiangnan Shipyard yang bertanggungjawab membina kapal pengangkut pesawat China yang ketiga serta Shenyang Aircraft Corporation yang membina pesawat pejuang buat tentera laut dan udara China telah terpaksa menangguhkan sebahagian kerja-kerja pembinaan mereka.

AS saat ini masih mendominasi dengan memiliki 11 kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear yang kesemuanya mampu membawa pesawat F-35B. Apa yang pasti, kehadiran virus berkenaan telah memberi impak negatif ke atas kemajuan tentera China untuk menyaingi armada laut Amerika.

Semoga ALLAH memelihara kita semua.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)