China-Kanada kembali tegang

Langkah tegas Kanada mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara selepas China juga mengambil keputusan tit-for-tat. - Foto: Agensi
Langkah tegas Kanada mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara selepas China juga mengambil keputusan tit-for-tat. - Foto: Agensi
A
A
A

OTTAWA - Perbalahan antara Kanada dan China telah mencetuskan episod ketegangan diplomatik terbaharu antara kedua-dua negara itu yang bermula kira-kira lima tahun lalu.

Pada Isnin, Ottawa mengumumkan pengusiran diplomat China, Zhao Wei di Konsulat China di Toronto yang didakwa mengugut ahli Parlimen Kanada yang juga pengkritik lantang Beijing.

Menteri Luar, Melanie Joly mengisytiharkan diplomat tersebut sebagai 'persona non grata' selepas menegaskan Ottawa tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing di dalam hal ehwal negara itu.

Keputusan pengusiran itu dibuat selepas ahli Parlimen, Michael Chong mendedahkan agensi risikan China menyasarkan beliau dan ahli keluarganya di Hong Kong setelah beliau mengemukakan usul yang mentakrifkan tindakan Beijing di wilayah Xinjiang sebagai genosid.

Menurut sumber, Wei diberikan tempoh lima hari untuk keluar dari Kanada.

Langkah tegas itu bagaimanapun mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara selepas China juga mengambil keputusan 'tit-for-tat' terhadap konsul Kanada di Shanghai.

Kementerian Luar Beijing juga melabel Jennifer Lynn Lalonde sebagai 'persona non grata' selepas ia mempertahankan keputusan untuk bertindak balas.

"Lalonde diarahkan untuk keluar dari Beijing menjelang Sabtu ini. China mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Ottawa," ujar kenyataan itu.

Jelas kementerian itu lagi, China telah memfailkan bantahan rasmi berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik dan turut menuduh Kanada sengaja menjejaskan hubungan dengan Beijing, rakan dagang kedua terbesar mereka. - AFP

Isu utama krisis Ottawa-Beijing

>Hubungan kedua-dua negara mula tegang pada 2018 selepas penahanan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Meng Wanzhou yang juga anak kepada pengasas firma gergasi telekomunikasi berpusat di China. Wanzhou dikenakan tahanan rumah di Vancouver selama hampir tiga tahun ketika cuba melawan kes ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) selepas beliau dikaitkan dengan tuduhan melakukan penipuan.

>Beberapa hari selepas Wanzhou ditahan, Beijing memberkas dua warga Kanada iaitu bekas diplomat Michael Kovrig dan ahli perniagaan, Michael Spavor. China didakwa menggunakan duo itu sebagai 'tebusan diplomasi' untuk memberi tekanan kepada Ottawa supaya membebaskan Wanzhou.

Wanita itu kemudiannya dibenarkan untuk kembali ke Beijing pada September 2021 selepas mencapai perjanjian bersama pendakwa raya AS.

Kedua-dua individu itu yang ditahan lebih 1,000 hari juga dibebaskan. Pada Disember 2022, Jabatan Kehakiman AS menggugurkan kesemua tuduhan yang dikemukakan ke atas Wanzhou.

>Kelantangan Kanada yang mengutuk pelanggaran hak asasi manusia dilakukan China juga mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara. Pada 2021, Parlimen negara itu sebulat suara mengundi untuk mentakrifkan layanan buruk Beijing terhadap minoriti Muslim termasuk Uighur di wilayah Xinjiang sebagai 'genosid'. Ahli Parlimen, Michael Chong memimpin usaha itu dan menyebabkan beliau bersama ahli keluarganya di Hong Kong dikenakan sekatan oleh Beijing.

Kanada juga pernah terlibat 'perang teknologi' dengan China apabila ia menyekat penglibatan syarikat Beijing dalam infrastruktur komunikasi negara itu. Pada Mei 2022, ia melarang Huawei daripada rangkaian 5G atas alasan bimbang dengan keselamatan negara. Tindakan tegas sama turut dikenakan ke atas firma telekomunikasi ZTE.

>Pada Februari lalu, Ottawa mengikut jejak langkah AS dan Suruhanjaya Eropah untuk melarang aplikasi TikTok daripada kesemua peranti kerajaan.

Ketika Sidang Kemuncak G20 di Indonesia pada November 2022, Presiden China, Xi Jinping dikatakan 'memarahi' Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kerana mendedahkan butiran perbincangan mereka berkaitan 'campur tangan' Beijing dalam hal dalaman negara itu.

>Isu paling utama perbalahan itu adalah tentang campur tangan China dalam hal ehwal dalaman Kanada. Pada Mac lalu, Trudeau melantik pelapor khas untuk menyiasat penglibatan Beijing dalam dua pilihan raya persekutuan negara itu. The Globe and Mail memetik sumber risikan melaporkan China cuba memastikan kekalahan ahli politik konservatif yang dianggap 'tidak mesra' dengan Beijing.