Polis ambil keterangan 14 individu kes serangan, ugutan keluarga Rafizi

Shazeli
Shazeli
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 14 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes serangan terhadap anak lelaki dan ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keterangan itu diperoleh bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kedua-dua insiden berkenaan.

“Semua masih dalam siasatan dan ia memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan pengesahan serta maklumat lengkap.

“Pihak polis juga sedang mengesan individu yang menghantar mesej ugutan menerusi aplikasi WhatsApp kepada isteri beliau,” katanya pada Sabtu.

Menurut Shazeli, ugutan berkenaan merupakan kejadian pertama melibatkan isteri Rafizi dan pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi menjejaki pemilik talian terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis turut memburu dua individu menaiki motosikal yang dipercayai menyerang anak Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 12 tahun didakwa disuntik jarum mengandungi cecair tidak diketahui sebelum suspek bertindak melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!