Thailand berjaya kesan 89 peserta tabligh berhimpun di Malaysia

Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand mengesahkan 35 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan keseluruhan kes positif di dalam negara ini kepada 212.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Suwannachai Wattanayingcharoen berkata, kes baharu yang disahkan terdiri daripada dua kumpulan.

Kumpulan pertama melibatkan 29 kes jangkitan termasuk 13 individu yang berkunjung ke Stadium Muay Thai yang sesak, empat lagi mengunjungi tempat-tempat hiburan di Thong Lo manakala 12 lagi adalah kontak rapat kepada pesakit yang direkodkan.

Kumpulan kedua pula terdiri daripada enam kes baharu termasuk seorang pelancong dari Kemboja, empat pekerja di sebuah kondominium dan satu lagi kes masih disiasat punca jangkitan.

“Sehingga kini, 212 kes Covid-19 dilaporkan di Thailand dengan satu kematian. Sebanyak 169 pesakit sedang dirawat di hospital manakala 42 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital. Tiga pesakit lagi berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam satu taklimat harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Suwannachai berkata, pihak berkuasa berjaya mengesan 89 daripada 132 masyarakat Muslim Thai yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac.

“11 orang jatuh sakit dan dua daripada mereka telah disahkan positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata Thailand masih kekal dalam fasa 2 penularan jangkitan dan tidak menolak kemungkinan penyebaran wabak itu meluas.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan memberi keutamaan penuh kepada langkah menangani penularan Covid-19 kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat.

“Apabila jangkitan menurun, kerajaan akan memperkenalkan langkah-langkah yang perlu untuk memulihkan ekonomi dan masyarakat. Kami sentiasa memantau dengan terperinci situasi dalam negara dan dunia.

“Kerajaan akan mengambil langkah sesuai dengan perkembangan terkini wabak,” katanya dalam ucapan mengenai usaha kerajaan Thai untuk mencegah penyebaran jangkitan Covid-19.

Untuk mengurangkan penyebaran virus itu dari Bangkok ke wilayah lain, Prayuth berkata, adalah perlu untuk semua pihak bersedia, mewujudkan persefahaman dan menggabungkan usaha untuk mengatasi situasi mencabar ketika ini.- Bernama