X

Kindly register in order to view this article
!

Permintaan penghantaran makanan melonjak 30 peratus

Seorang pekerja penghantar makanan membeli makanan yang dibungkus untuk dihantar ke pelanggan ketika tinjauan di sekitar ibu kota hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran meraih keuntungan besar berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 hari ini yang menyaksikan tempahan penghantaran melonjak lebih daripada 30 peratus.

Pada masa yang sama, bilangan restoran dan pasar raya yang mahu memasuki perniagaan penghantaran juga meningkat dengan ketara.

DeliverEat.my, yang ditubuhkan pada 2012 menyaksikan permintaan dari restoran menokok sebanyak 300 peratus.

"Kami beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Kami melihat aliran pertumbuhan yang sama di kedua-dua wilayah," kata Ketua Pegawai Operasi DeliverEat Sdn Bhd, Leong Shir Mein kepada Bernama.

Selain itu, DeliverEat.my, Foodpanda, Grab dan Dahmakan menyatakan bahawa operasi penghantaran makanan mereka akan diteruskan seperti biasa dalam tempoh dua minggu perintah kawalan dikuatkuasakan.

Di samping itu, Grab bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan penghantaran berasaskan kereta untuk memastikan aliran pendapatan yang berterusan bagi pemandu yang menjadi rakan kongsinya.

Seorang penunggang Grabfood menjangkakan bahawa beliau akan menerima peningkatan 20 hingga 30 peratus dalam tempahan semasa tempoh ketidaktentuan Covid-19, sekali gus mengukuhkan pendapatan beliau.

"Saya mencadangkan agar Grab memberi topeng subsidi untuk kami dan memperkenalkan penghantaran tanpa sentuh bagi memastikan kami tidak terdedah kepada virus," katanya.

Sementara itu, syarikat platform e-dagang, Shopee tetap beroperasi seperti biasa dan terus melihat permintaan yang lebih tinggi untuk keperluan harian dan barangan isi rumah seperti disinfektan, sanitiser tangan dan topeng pembedahan.

"Terdapat stok terhad di pasaran untuk sesetengah produk ini terutamanya topeng pembedahan dan sanitiser.

"Kami bekerjasama dengan pengilang dan pembekal untuk memastikan keperluan ini dapat dibeli tanpa sebarang gangguan," kata Pengarah Pengurusan Wilayah Shopee, Ian Ho.

Katanya, orang ramai memilih untuk membeli-belah dalam talian bagi keperluan seperti itu tetapi mengakui Shopee tidak mempunyai data untuk mengaitkan trend tersebut dengan Covid-19.

"Terdapat banyak faktor lain yang mendorong jualan kami seperti Jualan Mega 3.3, yang menawarkan produk pengguna seperti komputer riba, telefon pintar, TV dan pembersih vakum hanya pada separuh harga," katanya, sambil menambah, Shopee baru sahaja melancarkan kategori 'keluaran segar'.

Menurut Ho lagi, dengan kehadiran produk tempatan yang semakin mantap termasuk pengenalan pelbagai jenis barangan di platform Shopee, pengguna boleh mencari produk alternatif di peringkat antarabangsa dengan lebih mudah.

"Kami juga bersyukur bahawa Malaysia mampu berdikari kerana ia merupakan sebuah negara pengeluar dan pengilang," katanya.

Pos Laju pula menjelaskan, perniagaan syarikat itu berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan dalam bilangan hantaran yang diterima dan diproses.

"Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, wujud beberapa kelewatan dalam penghantaran mel antarabangsa dari dan ke China," menurut jurucakap syarikat itu.

Menurut jurucakap itu lagi, tempoh kelewatan masih tidak dapat ditentukan selepas banyak syarikat penerbangan menggantungkan laluan atau mengurangkan kekerapan perjalanan mereka.

Sementara itu, di tengah-tengah permintaan yang lebih tinggi, QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali lebih daripada 1,100 cawangan KFC dan Pizza Hut di seluruh negara, tetap memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui penghantaran, bawa pergi dan pandu lalu.

"KFC dan Pizza Hut Malaysia akan memperkenalkan pilihan terbaharu yang membabitkan 'penghantaran tanpa sentuh' yang membolehkan pelanggan untuk berurusan tanpa sebarang sentuhan, ini akan mengurangkan lagi risiko penyebaran virus," kata Pengarah Pengurusan QSR Brands, Nehchal Khanna.

Bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia dalam tempoh ketidaktentuan ini, KFC dan Pizza Hut menawarkan lebih nilai kepada pelanggan apabila mereka memilih perkhidmatan penghantaran.

Mereka akan mendapat baucar KFC RM10 manakala Pizza Hut menawarkan 'Beli Satu Dapat Satu Percuma' (saiz piza biasa) untuk setiap pesanan penghantaran melalui laman web, aplikasi, dan Foodpanda.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!