Jumlah panggilan tinggi punca kesesakan hotline MKN

MKN - Foto Sumber Internet
MKN - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Talian hotline Pusat Pengurusan Operasi Negara didapati sukar untuk dihubungi sejak mula beroperasi pada jam 12 tengah hari tadi.

Wartawan Sinar Harian telah cuba untuk menghubungi talian tersebut beberapa kali, namun talian tersebut tidak dapat ditembusi.

Dalam pada itu, sumber Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, pihaknya menyediakan sebanyak lapan talian khas bagi menjawab pelbagai pertanyaan daripada orang ramai.

"Kami menerima jumlah panggilan yang sangat tinggi sejak talian ini mula dibuka sebab itulah, kami menyediakan alternatif dengan membuka akaun Telegram bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini di seluruh negara.

MKN telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan operasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah tersebut.

MKN dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut berada dalam MKN ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Artikel Berkaitan: