MOT digesa umum tarikh penubuhan MTSB

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa menyediakan garis masa yang jelas dan muktamad untuk penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB).
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masyarakat perlu tahu bila lembaga tersebut akan beroperasi sepenuhnya, dilengkapi pakar berkelayakan serta diberi kuasa menjalankan penyiasatan yang teliti dan saksama.
"Orang ramai berhak mendapat jaminan bahawa inisiatif ini tidak akan mengalami kelewatan selanjutnya. Kami menantikan butiran lanjut daripada kementerian.
"Sudah tiba masanya untuk mengutamakan keselamatan pengangkutan dan memastikan pengajaran diambil daripada setiap kemalangan bagi mengelakkan tragedi pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa MOT pada Rabu memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan penubuhan MTSB, yang akan berfungsi menyiasat kemalangan jalan raya di negara ini.
Beliau berkata demikian susulan syor yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan kementerian bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan kemalangan bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
Lam Thye turut mempersoalkan kelewatan penubuhan badan khas tersebut yang telah memakan masa selama 11 tahun sejak nahas tragis bas di Genting Highlands pada tahun 2014, yang meragut 37 nyawa.
Ujarnya, selepas peristiwa berkenaan, panel penasihat bebas yang dipengerusikan olehnya membentangkan 51 cadangan, termasuklah penubuhan segera Lembaga Keselamatan.
"Menteri ketika itu bersetuju dengan pembentukannya. Namun, selama lebih sedekad, inisiatif kritikal ini tidak langsung menampakkan peningkatan.
"Banyak negara telah menubuhkan lembaga keselamatan pengangkutan bebas bagi menyiasat kemalangan dan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan keselamatan merentasi pelbagai mod pengangkutan.
"Contohnya ialah Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada (TSB), Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB)," ujarnya.
Menurutnya, lembaga tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan dengan mengenal pasti isu sistemik dan mempromosikan amalan terbaik.
"Keselamatan penumpang, sama ada di laut, saluran paip, rel, pengangkutan udara mahupun kenderaan darat, adalah amat penting.
"Ia tidak boleh dikompromi oleh kelewatan birokrasi atau kekurangan kemahuan politik. Setiap hari kelewatan berpotensi membahayakan nyawa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

