Barca buka La Liga dengan kemenangan kontroversi, Rashford ikut jejak Lineker

Rashford. Foto Agensi
Rashford. Foto Agensi
A
A
A

Gergasi Sepanyol, Barcelona memulakan misi mempertahankan kejuaraan La Liga dengan menewaskan Mallorca 3-0 di Estadi Mallorca Son Moix yang disaksikan 23,318 penonton.

Namun kemenangan skuad Hansi Flick itu dibayangi kontroversi selepas tuan rumah kendalian Jagoba Arrasate menamatkan aksi dengan sembilan pemain.

Raphinha membuka jaringan hasil hantaran silang Lamine Yamal minit ketujuh sebelum Ferran Torres menggandakan kedudukan minit ke-23, ketika kapten Mallorca, Antonio Raillo, sedang terbaring akibat kecederaan kepala.

Mallorca terus dirundung malang apabila Manu Morlanes dilayangkan kad merah kedua minit ke-33 dan Vedat Muriqi turut diarah keluar padang selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) minit ke-39.

Yamal melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga ke atas anak buah Arrasate pada penghujung perlawanan minit ke-94.

Sementara itu, Marcus Rashford, yang masuk pada minit ke-69, mencatat sejarah sebagai pemain Inggeris pertama tampil bersama skuad utama Barca dalam aksi kompetitif sejak Gary Lineker pada 1989.

Namun, pemain pinjaman dari Manchester United itu tidak sempat mencipta peluang untuk Barcelona dalam perlawanan berkenaan.

Sebagai rekod, Rashford dan penjaga gol baharu, Joan Garcia hanya sempat didaftarkan sebelum perlawanan berikutan isu kewangan Barcelona.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!