Titah Agong isyarat pembaharuan ketenteraan, ketelusan perolehan pertahanan

TITAH tegas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pembatalan cadangan pembelian helikopter Black Hawk terpakai bukan sekadar kebimbangan terhadap aspek keselamatan peralatan ketenteraan.
Mesej tersebut secara tersirat mengenai gesaan ke arah reformasi struktur perolehan dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) yang selama ini sering dikaitkan dengan keraguan, ketelusan dan pembaziran dana awam.
Fokus sebenar di sebalik titah tersebut bukan hanya kepada usia helikopter tetapi mengenai kecekapan sistem, integriti pelaksanaan dan ketahanan strategi pertahanan untuk jangka masa panjang.
Seri Paduka Baginda menyebut istilah seperti 'keranda terbang' yang bukan hanya retorik, tetapi satu peringatan tegas mengenai nyawa anggota tentera yang dipertaruhkan berdasarkan keputusan pembelian yang tidak mengambil berat tentang keselamatan.
Baginda juga secara terang-terangan menzahirkan kekecewaan terhadap kewujudan ejen dan bekas jeneral yang bertindak sebagai pelobi atau jurujual dalam proses pembelian peralatan ketenteraan.
Secara tidak langsung ia mengangkat isu yang selama ini digembar-gemburkan bahawa sektor pertahanan berisiko menjadi medan perniagaan tertutup, bukan platform mempertahan negara secara berkesan.
Sultan Ibrahim juga memberi isyarat jelas bahawa perolehan ketenteraan tidak boleh terus bergantung kepada model perantaraan yang menaikkan kos dan menjejaskan ketelusan.
Teguran keras seperti 'jangan cuba nak temberang saya' menjadi satu garis merah mengenai amaran terakhir bahawa kepercayaan rakyat, tentera dan institusi diraja tidak boleh dikhianati.
Mungkin teguran ini sedikit 'keras' kepada Kementerian Pertahanan, namun jika dilihat dari satu sudut yang lebih luas, titah Sultan Ibrahim menjadi penanda aras terhadap keperluan mendesak terhadap pembaharuan menyeluruh dalam sistem perolehan pertahanan negara supaya lebih telus, bebas kepentingan luar dan benar-benar menjamin keselamatan negara serta kesejahteraan anggota tentera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
