Sotong mata hijau jadi buruan kaki pancing antarabangsa

Yu Man bergambar bersama peserta sebelum majlis pelepasan Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025' di Jeti Shahbandar di sini pada Sabtu.
Yu Man bergambar bersama peserta sebelum majlis pelepasan Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025' di Jeti Shahbandar di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sotong mata hijau atau sotong mabang menjadi buruan 105 kaki pancing pada kejohanan memancing 'Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025' di sini pada Sabtu.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, acara anjuran Persatuan Memancing dan Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang itu menyaksikan penyertaan pemancing dari dalam dan luar negara termasuk peserta dari Jepun.

Menurutnya, acara julung kali dianjurkan itu berjaya menarik penyertaan peminat aktiviti memancing sotong mata hijau yang dikenali dengan cabaran unik serta nilai komersialnya yang tinggi.

"Sotong jenis ini agak istimewa kerana mempunyai corak badan yang menarik dan berwarna-warni menjadikannya mudah dikenal pasti dalam kalangan spesies lain.

"Selain itu,sotong jenis ini juga memiliki keupayaan luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran laut menjadikan ia sukar ditangkap dan memberi cabaran sebenar kepada para pemancing berpengalaman," ujarnya melalui kenyataan pada Sabtu.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim mengambil peluang merasai cabaran Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025
Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim mengambil peluang merasai cabaran Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis pelepasan 21 bot peserta kejohanan itu di Jeti Shahbandar di sini.

Yu Man berkata, pertandingan dijalankan secara berpasukan dengan maksimum lima peserta setiap kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain mempromosikan sukan memancing sebagai aktiviti rekreasi dan pelancongan, kejohanan itu turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk nelayan, pengusaha bot, peniaga kecil serta penyedia perkhidmatan pelancongan.

“Kami berhasrat menjadikan Pahang International Green Eye Squid Hunting sebagai acara tahunan yang ikonik sekaligus meletakkan Kuantan di peta pelancongan maritim antarabangsa,” ujarnya.

Yu Man berkata, Pahang dikenali dengan keindahan persisiran pantainya yang membentang sejauh 210 kilometer dari Kuantan hingga ke Rompin menjadikannya destinasi pelancongan maritim yang amat berpotensi.

Katanya, Rompin pula terkenal di peringkat antarabangsa sebagai lokasi utama bagi aktiviti memancing ikan layaran yang menjadi tarikan utama kepada pemancing tegar dari dalam dan luar negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!