23 keluarga asal bakal terima rumah percuma di bawah projek RMKu

NIBONG TEBAL - Kerajaan negeri Pulau Pinang menunaikan janji apabila 23 keluarga asal di Lot 10059, Mukim 8, Seberang Perai Selatan bakal menerima rumah teres setingkat bertanah secara percuma selepas projek Rumah MutiaraKu (RMKu) siap kelak.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu melibatkan pembinaan keseluruhan 85 unit rumah teres setingkat dengan keluasan 750 kaki persegi, tiga bilik, dua bilik air serta kemudahan parkir.
"Sebanyak 23 unit rumah serta tiga kuil Hindu akan diberikan secara percuma kepada penduduk asal, manakala baki unit kediaman akan dijual pada harga sekitar RM200,000 seunit melalui konsep subsidi silang.
"Hasil jualan itu akan digunakan untuk menampung kos rumah percuma berkenaan," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) RMKu antara Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Sierra Residences (M) Sdn Bhd di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo; Exco Kerajaan Tempatan, Jason H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid; wakil LPNPP serta pihak pemaju.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun depan selepas pelan pembangunan mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Beliau bekata, projek terbabit akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pembinaan akan dimulakan di kawasan kosong terlebih dahulu, sebelum penduduk dipindahkan ke rumah baharu.
"Selepas itu, rumah lama akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada fasa seterusnya,” katanya.
Katanya, sebelum ini 23 keluarga terbabit hampir berdepan pengusiran paksa selepas tuan tanah asal memperoleh perintah mahkamah.
“Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan berunding dan seterusnya mengambil balik tanah berkenaan untuk memastikan hak penduduk asal terjamin.
"Projek ini bukan untuk keuntungan kerajaan, sebaliknya sebagai penyelesaian jangka panjang bagi membangunkan penempatan semula yang lebih tersusun di kawasan ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
